AM

RAJA MUDA PERLIS ZAHIR TAKZIAH KEPADA KELUARGA WAKIL ASTRO AWANI PERLIS

26/11/2025 09:54 PM

KANGAR, 26 Nov (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan penuh rasa dukacita menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga wartawan sambilan Astro AWANI di Perlis Allahyarham Mohamad Asri Shafii.

Baginda bertitah pemergian Mohamad Asri meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga dan rakan-rakan sejawatan, tetapi juga kepada masyarakat yang mengenali dedikasi serta komitmen tinggi beliau terhadap profesion kewartawanan.

"Tuanku Raja Muda Perlis turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan berdoa semoga keluarga yang ditinggalkan diberi ketabahan, kesabaran, dan kekuatan dalam menghadapi saat-saat sukar ini," menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau hari ini.

Mohamad Asri, 49, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan rakyat Malaysia yang terperangkap dalam bencana banjir di Hat Yai, Thailand, dipercayai akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop dalam kenyataan berkata Mohamad Asri ditemukan tidak sedarkan diri di tepi jalan di Jalan Behor Pulai, di sini pada 7.20 pagi tadi selepas dikatakan menolak keretanya yang terkandas dalam banjir.

Beliau pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebelum menjadi wakil Astro AWANI di Perlis.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan