DUNIA

MALAYSIA TINGKATKAN USAHA MENYELAMAT KETIKA BANJIR HAT YAI SEMAKIN BURUK

26/11/2025 10:05 PM

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Pasukan penyelamat Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand menyelamatkan 1,210 rakyat Malaysia di Hat Yai dan daerah berhampiran yang dilanda banjir di selatan Thailand, ketika hujan lebat terus menjejaskan operasi.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang memantau dengan rapi keadaan banjir yang teruk, memandangkan situasi masih membimbangkan susulan hujan lebat yang berterusan pada Rabu.

Kementerian berkata usaha menyelamat secara bersepadu menunjukkan perkembangan positif walaupun berdepan keadaan mencabar.

“Pada 25 Nov (Selasa) sahaja, seramai 870 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dengan bantuan gabungan pasukan penyelamat Malaysia dan pihak berkuasa Thailand. Ini susulan 340 rakyat Malaysia yang diselamatkan pada 24 Nov (Isnin), menjadikan jumlah dua hari 1,210 orang,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar memberi jaminan bahawa operasi akan diteruskan sehingga semua rakyat Malaysia yang berdaftar dipindahkan dengan selamat.

Kementerian turut menasihatkan individu di kawasan terjejas supaya berada di dalam rumah jika boleh, sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa Thailand serta pasukan penyelamat.

Walaupun jumlah rakyat Malaysia yang terkandas semakin berkurangan, kementerian berkata ribuan penduduk, termasuk rakyat Malaysia, masih tidak dapat meninggalkan Hat Yai akibat paras air yang tinggi dan arus deras.

Sehubungan itu, keutamaan diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan perubatan atau kebajikan segera.

Kementerian berkata pasukan dari Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah tiba di Hat Yai pada Selasa malam bagi memperkukuh operasi di lapangan yang dikendalikan oleh Konsulat Jeneral.

Pasukan berkenaan turut bekerjasama dengan NGO Malaysia dan Tentera Diraja Thailand bagi menyalurkan bekalan ubat-ubatan penting, makanan dan air bersih kepada rakyat Malaysia yang sangat memerlukan, di samping melaksanakan pemindahan apabila keadaan mengizinkan.

Bagi meningkatkan mobiliti dan mencapai lebih banyak kawasan terjejas, kementerian berkata 22 jet ski daripada Pasukan Bomba Sukarelawan telah tiba di Hat Yai pada Rabu.

Kementerian turut menggesa rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Konsulat Jeneral di Songkhla atau Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok supaya berbuat demikian segera bagi memastikan bantuan dapat disalurkan tepat pada masanya.

Kementerian akan terus memantau perkembangan dan mengeluarkan makluman lanjut jika perlu.

Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi bilik gerakan Kementerian Luar di Putrajaya di talian +603-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok boleh dihubungi di talian +66-87-028-4659 atau +66-2340-5721, atau melalui e-mel di mwbangkok@kln.gov.my.

Selain itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla boleh dihubungi di talian +(6674) 316274 atau +(6681) 9901930, dengan talian tambahan di +(6674) 324004 dan 312353 atau melalui e-mel di mwsongkhla@kln.gov.my. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan