KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada rakan sejawatannya dari Thailand Anutin Charnvirakul dan kerajaan negara itu, atas bantuan serta keprihatinan dalam membantu rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di wilayah selatan Thailand.
Dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini, Anwar berkata tindakan itu mencerminkan kekuatan hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Thailand, serta semangat solidariti yang amat dihargai.
“Malaysia dan Thailand akan terus bekerjasama rapat demi keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
“Kerajaan MADANI sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap rakyat Malaysia yang masih terkandas, dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, menurut laporan Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand, lebih 700 rakyat Malaysia berjaya dipindahkan dari Hat Yai ke Bukit Kayu Hitam, Kedah susulan banjir besar yang melanda selatan negara itu, termasuk mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata operasi pemindahan itu dapat dijalankan selepas paras air menurun berikutan hujan lebat reda semalam, membolehkan pasukan Malaysia dan Thailand mengakses lebih banyak lokasi yang sebelum ini terputus hubungan.
-- BERNAMA
