AM

BANK RAKYAT TAWAR MORATORIUM SEHINGGA ENAM BULAN KEPADA MANGSA BANJIR DI SELURUH NEGARA

27/11/2025 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Bank Rakyat menawarkan kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan, individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir yang kini berlaku di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata kemudahan itu bertujuan mengurangkan beban kewangan dan komitmen dihadapi pelanggan, dalam waktu mencabar ini.

Beliau berkata kemudahan moratorium yang ditawarkan itu merangkumi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i, Pajak Gadai-i serta Kad Kredit-i.

“Pelanggan yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

“Manakala bagi pelanggan Kad Kredit-i boleh menghantar permohonan ke e-mel kkredit@bankrakyat.com.my. Pelanggan perniagaan juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web rasmi bank di   http://www.bankrakyat.com.my/, hubungi Pusat Panggilan menerusi talian 1 300 800 800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan, serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi perkembangan terkini.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan