AM

KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA CAPAI SASARAN 0.7 IPNAS

28/11/2025 09:19 AM

BUTTERWORTH, 27 Nov (Bernama) -- Tahap perpaduan negara semakin baik apabila Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) berjaya mencapai sasaran 0.7 tahun ini, sekali gus mencerminkan penambahbaikan dalam hubungan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya. 

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan berbanding dapatan hasil kajian sebelumnya yang berada sekitar 0.5 hingga 0.6.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kami telah menetapkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 0.7 skor IPNas dan hasil kajian dijalankan daripada skala 0 hingga 1 kini berada di 0.7, berjaya mencapai sasaran.

“Bagimanapun laporan penuh hasil kajian itu hanya akan diumumkan pada awal tahun depan,” katanya selepas menghadiri program The Great Pilgrimage of Hope 2025 di sini hari ini.

IPNas adalah satu-satunya indeks pengukuran tahap perpaduan yang diguna pakai oleh kerajaan bagi melihat kedudukan semasa perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kajian pertama IPNas dijalankan pada 2018 yang mencatatkan 0.567 manakala indeks itu meningkat kepada 0.629 pada 2022.

Mengulas lanjut Aaron berkata perkembangan positif itu adalah hasil usaha berterusan kementerian menerusi pelbagai inisiatif dan program bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat majmuk di negara ini.

“Inisiatif ini termasuk kempen kesedaran, dialog serta penyediaan pelbagai platform interaksi untuk rakyat berhubung antara satu sama lain agar mereka sedar dan memahami kepentingan bersatu padu,” katanya.

Beliau berkata kementerian itu akan terus komited melaksanakan agenda perpaduan dan memastikan masyarakat hidup harmoni dalam kepelbagaian.

Persidangan selama empat hari bermula hari ini sehingga 30 Nov, anjuran Persekutuan Persidangan Uskup-Uskup Asia menghimpunkan 777 delegasi dari 24 negara Asia termasuk Holy See, Australia dan Eropah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan