KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Hong Leong Bank Bhd (HLB) melaporkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sedikit kepada RM1.09 bilion bagi suku pertama berakhir 30 Sept, 2025 (S1), daripada RM1.089 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Hasil bagi suku yang ditinjau turut meningkat kepada RM1.68 bilion daripada RM1.59 bilion sebelum ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB Kevin Lam berkata jumlah pendapatan bagi S1 meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM1.68 bilion, disokong oleh pengembangan portfolio pinjaman/pembiayaan dan pendapatan bukan faedah yang berterusan.
“Jumlah pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar mengekalkan trajektori pertumbuhan kukuh, meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM211.8 bilion.
"Ini didorong oleh pengembangan dalam segmen utama kami — gadai janji, pinjaman automotif, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan komersial — serta pertumbuhan di pasaran luar negara utama kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pinjaman/pembiayaan domestik meningkat 9.0 peratus tahun ke tahun, terus mengatasi kadar pertumbuhan industri sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun, manakala gadai janji kediaman meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun kepada RM102.1 bilion, disokong oleh pinjaman/pembiayaan yang sihat.
Sementara itu, pinjaman/pembiayaan kenderaan pengangkutan terus mencatat kadar pertumbuhan dua angka sebanyak 11.4 peratus tahun ke tahun kepada RM24.8 bilion, didorong oleh kerjasama strategik dengan jenama automotif terkemuka dan pengeluar kenderaan elektrik yang disertai dengan pakej pembiayaan kompetitif.
Pinjaman kepada syarikat perniagaan domestik pula meningkat 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM67.9 bilion.
“Komitmen kami terhadap sektor PKS kekal teguh, dengan pinjaman/pembiayaan kepada PKS meningkat 8.7 peratus tahun ke tahun kepada RM40.4 bilion, termasuk peningkatan 10.5 peratus tahun ke tahun dalam portfolio perbankan komuniti PKS kami.
“Kesemua ini disokong oleh komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, memanfaatkan transformasi digital dan inovasi proses bagi memberikan rangkaian penyelesaian kewangan yang dipertingkatkan,” kata Lam.
Pinjaman daripada operasi luar negara meningkat 10.1 peratus tahun ke tahun, diterajui oleh pertumbuhan masing-masing sebanyak 15.1 peratus dan 6.2 peratus tahun ke tahun di Singapura dan Vietnam.
Deposit pelanggan untuk S1 meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun kepada RM236.3 bilion.
Sehubungan itu, CASA (akaun semasa dan simpanan) meningkat dengan ketara sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM76.8 bilion, yang membawa kepada nisbah CASA sebanyak 32.5 peratus.
“Prestasi yang baik ini disebabkan oleh strategi pemerolehan deposit komuniti yang khusus dan penyampaian bagi penyelesaian pengurusan tunai yang berbeza untuk pelanggan kami,” tambahnya.
-- BERNAMA
