KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 bagi meluaskan kuasa perbadanan itu, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, yang memaklumkan bacaan kali kedua akan dibuat pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Menurut naskhah biru, RUU bagi meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) itu, bertujuan untuk menaikkan penalti bagi kesalahan di bawah Seksyen 15 daripada penjara selama tempoh lima tahun kepada 10 tahun dan daripada denda sebanyak RM25,000 kepada RM250,000.
RUU itu turut mencadangkan pindaan terhadap Seksyen 25, untuk menaikkan penalti bagi kesalahan pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah Bahagian V Akta 244, daripada denda sebanyak RM50,000 dinaikkan kepada RM250,000 dan daripada penjara selama dua tahun kepada lima tahun.
“RUU turut meminda Seksyen 26H memperuntukkan tiada pendakwaan bagi suatu kesalahan di bawah Akta 244 atau perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta 244 boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan bertulis daripada pendakwa raya,” menurut naskhah itu.
Selain itu, RUU tersebut bertujuan memasukkan seksyen baharu 20A untuk mengadakan peruntukan bagi kuasa perbadanan menubuhkan syarikat di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777], untuk menjalankan atau terlibat dalam aktiviti perbadanan yang telah dirancang.
Pindaan berkenaan turut mencadangkan memasukkan seksyen baharu 29a dan 29b ke dalam akta berkenaan.
“Seksyen baharu 29a menjadikan sebagai suatu kesalahan bagi mana-mana orang yang membuat, menandatangani atau memberikan apa-apa perisytiharan, penyata, perakuan atau apa-apa dokumen atau maklumat lain yang dikehendaki untuk diberikan di bawah Akta 244 atau perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta 244 yang tidak benar, tidak tepat atau mengelirukan.
“Seksyen baharu 29b memberi perbadanan kuasa untuk mengeluarkan garis panduan sebagaimana yang suai manfaat atau perlu bagi melaksanakan dengan lebih baik peruntukan Akta 244,” menurut naskhah berkenaan.
RUU itu juga meminda Seksyen 34 untuk menambah baik peruntukan mengenai kuasa perbadanan untuk membuat peraturan-peraturan di bawah Akta 244.
-- BERNAMA
