KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Penurunan kuasa melaksanakan projek bernilai RM50 juta ke bawah kepada Sabah dan Sarawak adalah komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali
Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) serta pernah mengetuai Urus Setia MA63 di Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak berkata Nota Jemaah Menteri pada 21 Dis 2022 menyenaraikan isu-isu tertunggak berkaitan MA63, dan penurunan kuasa itu menjadi satu daripadanya.
Beliau berkata Kementerian Kewangan yang dipimpin oleh Anwar sendiri telah memberikan respons positif dengan mencadangkan penurunan kuasa persekutuan kepada Sabah dan Sarawak melibatkan projek-projek bernilai RM30 juta ke bawah.
"Pada masa itu, saya sendiri mencadangkan supaya nilai tersebut dinaikkan kepada jumlah RM50 juta atas alasan jumlah RM30 juta adalah bersamaan dengan jumlah projek-projek yang di bawah bidang kuasa sedia ada Pejabat Perbendaharaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak," katanya dalam video dikongsikan di laman Facebooknya hari ini.
Armizan berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Jan 2023 telah meluluskan syor Kementerian Kewangan untuk memberikan pengiktirafan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak.
Ini meletak JKR Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 dan melayakkan agensi-agensi negeri ini melaksanakan keseluruhan proses, termasuk perolehan, projek-projek persekutuan bernilai RM50 juta ke bawah.
"Tidak ada mana-mana Perdana Menteri atau kerajaan Persekutuan sebelum ini bersedia untuk melepaskan kuasa berkaitan projek kepada negeri, tetapi ini adalah komitmen Datuk Seri Anwar serta-merta meluluskan dan melaksanakan syor tersebut hanya dalam tempoh satu bulan pentadbirannya," katanya.
-- BERNAMA
