ARAU, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjaga kebajikan anak wartawan sambilan Astro Awani di Perlis Mohamad Asri Shafii yang meninggal dunia selepas membuat liputan banjir semalam.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tanggungjawab itu melibatkan anak arwah yang masih bersekolah dan beliau terkesan dengan pemergian Mohamad Asri, 49, yang sentiasa membuat liputan semasa kunjungannya ke negeri itu.
“Saya merakamkan takziah kepada keluarga arwah dan mudah-mudahan mereka diberikan kesabaran untuk menghadapi ujian besar ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jawi di sini hari ini.
Fadhlina turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham menerusi Presiden Persatuan Wartawan Perlis (PWP) Syed Azlan Sayid Hizar.
Semalam, Mohamad Asri ditemukan tidak sedarkan diri di tepi jalan di Jalan Behor Pulai, di sini pada 7.20 pagi dipercayai akibat serangan jantung selepas menolak keretanya yang terperangkap banjir.
Arwah semasa itu dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan rakyat Malaysia terperangkap banjir di Hat Yai, Thailand.
Mohamad Asri meninggalkan isteri Norhanani Ahmad, 48, dan enam anak berumur antara 11 hingga 20 tahun dengan ada di antara mereka sedang menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor dan Kolej Pertanian, Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
-- BERNAMA
