KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan venue pertandingan bagi 10 acara sukan yang pada asalnya dijadualkan di Songkhla kini akan dilangsungkan di Bangkok dan Chonburi.
MOM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertukaran venue itu dibuat berikutan banjir besar yang melanda selatan Thailand.
Sementara itu, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nasir Ali dalam kenyataan sama merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin dalam urusan penganjuran Sukan SEA.
Beliau berkata MOM kini bekerjasama rapat dengan Persatuan Sukan Kebangsaan terlibat bagi memuktamadkan urusan perjalanan dan penginapan kontinjen berdasarkan venue pertandingan yang telah dipinda.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin tentang penganjuran Sukan SEA ke-33, khususnya berkaitan 10 acara sukan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Songkhla, namun kini dipindahkan ke Bangkok dan Chonburi.
“Kami akan memaklumkan semua pihak sebaik sahaja menerima perkembangan rasmi,” katanya.
Senarai penuh sukan yang dipindahkan dan venue baharu adalah seperti berikut:
Muay Thai - Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok
Bola Sepak Lelaki (Kelayakan) - Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok
Catur - Hotel The Bazaar, Bangkok
Kabadi - Pusat Sukan Chalermphrakiat, Universiti Teknologi Rattanakosin Rajamangala, Bangkok
Wushu - Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana, Bangkok
Pencak Silat - Arena IMPACT, Muang Thong Thani, Bangkok
Judo - Auditorium Universiti Teknologi Rajamangala Thanyaburi, Bangkok
Petanque - Universiti Rajabhat Valaya Alongkorn, Bangkok
Karate - Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana, Bangkok
Gusti - Pacific Park Sriracha, Chonburi
Biliard dan Snuker - Thunder Dome, Muang Thong Thani, Bangkok
-- BERNAMA
