DUNIA

SUSPEK TEMBAK PENGAWAL KEBANGSAAN PERNAH BERKHIDMAT BERSAMA TENTERA AS DI AFGHANISTAN

27/11/2025 11:28 PM

WASHINGTON, 27 Nov (Bernama-Xinhua) -- Suspek yang menembak dua anggota Pengawal Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) berhampiran Rumah Putih pada Rabu merupakan seorang warga Afghanistan yang sebelum ini berkhidmat bersama pasukan AS di Afghanistan, menurut laporan media tempatan, lapor Xinhua.

Menurut NBC News, suspek yang dikenal pasti sebagai Rahmanullah Lakanwal, 29, tiba di AS pada September 2021 selepas berkhidmat selama sedekad dalam angkatan tentera Afghanistan dan dia adalah anggota sokongan Pasukan Khas AS.

Dia tinggal di negeri Washington, lapor NBC News memetik anggota kanan penguatkuasaan undang-undang.

Fox News pula melaporkan suspek pernah bekerja dengan pelbagai agensi kerajaan AS ketika di Afghanistan, termasuk Agensi Perisikan Pusat (CIA), sebagai anggota pasukan rakan kerjasama.

Kejadian tembakan berlaku kira-kira 2.15 petang waktu tempatan (1915 GMT) berhampiran Stesen Metro Farragut Square, menurut kenyataan Pasukan Petugas Bersama D.C., yang menyelia penugasan Pengawal Kebangsaan di Washington.

Suspek ditembak oleh seorang lagi anggota Pengawal Kebangsaan dan ditahan, menurut pegawai. Pihak berkuasa masih berusaha mengesahkan semua butiran mengenai individu itu, yang kini sedang dirawat di hospital.

Menyifatkan kejadian itu sebagai "tindakan keganasan", Presiden AS Donald Trump dalam satu ucapan pada Rabu malam berkata AS "perlu meneliti semula setiap warga asing dari Afghanistan yang memasuki negara itu” semasa pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.

Dalam hantaran di media sosial beberapa jam selepas insiden, Trump berkata dua anggota Pengawal Kebangsaan itu berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di dua hospital berasingan, manakala penembak turut mengalami kecederaan parah.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan