FOKUS BERNAMA

RKB HAPUS AMALAN "USANG", TAMPIL WAJAH BAHARU SISTEM PERKHIDMATAN AWAM

28/11/2025 01:13 PM


From Nurqalby Mohd Reda

Ditolak dari satu jabatan ke satu jabatan ketika berurusan dengan pejabat kerajaan, memerlukan kelulusan pelbagai pihak dan bermacam-macam lagi isu renyah lain yang dirumuskan sebagai kerenah birokrasi, telah membelenggu pentadbiran awam sejak sekian lama.

Isu ini amnya mengekang kelancaran pelaksanaan dasar dan inisiatif khususnya, yang seterusnya menjejaskan usaha kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk dalam soal pembangunan ekonomi dan sosial.

Sedar akan masalah ini perlu ditangani secara sistemik, lebih-lebih lagi ketika rakyat kian matang dan menuntut ketelusan, kecekapan serta tindak balas segera, kerajaan MADANI melancarkan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dalam usahanya merealisasikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

Menerusi satu pekeliling bertarikh 24 Nov 2024, sektor awam Malaysia melaksanakan RKB yang bertujuan menangani kerenah birokrasi termasuk memansuhkan peraturan dan amalan kerja “usang” di semua agensi kerajaan bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan produktiviti negara.

RKB juga diunjur memberikan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion pada 2025.

 

TERIKAT CARA KERJA LAMA

Melihat RKB berpotensi menjadi pemacu usaha reformasi menyeluruh sektor awam dan seterusnya memodenkan struktur pentadbiran negara, pakar bagaimanapun tidak menolak masih wujud kekangan dalam pelaksanaan pembaharuan tersebut.  

Pakar pentadbiran Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor berkata di sebalik pekeliling yang dikeluarkan setahun lalu, budaya kerja cara lama masih wujud di sesetengah agensi kerajaan, berpunca daripada “keselesaan” penjawat awam dengan budaya yang sudah berakar sejak sekian lama.

“Isu birokrasi dilihat berlarutan kerana pembaharuan yang diperkenalkan sebelum ini sering terbantut di peringkat pelaksanaan, terutamanya disebabkan oleh budaya kerja yang sukar diubah.

pic-2

“Rata-rata pegawai (penjawat awam) masih selesa dengan sistem manual, manakala pemimpin jabatan pula tidak begitu konsisten untuk mendorong pegawai ke arah perubahan (RKB) tersebut,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia itu berkata hingga hari ini, masih ada aduan tentang penyampaian perkhidmatan lambat dan tidak cekap walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mempermudah urusan termasuk pendigitalan dan pendekatan “whole-of-government” yang sepatutnya melancarkan urusan membabitkan pelbagai agensi atau kementerian.

Beliau berkata situasi itu juga menggambarkan wujud jurang antara dasar transformasi yang dirancang dengan pelaksanaan di lapangan,  sekali gus  menampakkan perkhidmatan kerajaan masih bergelut dengan budaya, sistem dan struktur lama.

“Kajian Edelman Trust Barometer Malaysia 2023 menunjukkan kepercayaan kepada agensi kerajaan sekitar 62 peratus, dan antara punca utama ketidakpuasan ialah perkhidmatan lambat, tidak mesra pelanggan dan dianggap kurang telus kesan daripada kerenah birokrasi ini.

“Apabila rakyat mengalami kelewatan dalam urusan seperti permohonan bantuan, pembaharuan lesen atau penyelesaian aduan, mereka cenderung menyimpulkan bahawa kerajaan secara keseluruhan tidak cekap. Situasi ini menjejaskan reputasi institusi dan melemahkan keyakinan awam terhadap agensi awam,’’ katanya.

Selain itu katanya, kerenah birokrasi turut memberi impak negatif apabila proses kerja yang terlalu berlapis dan memerlukan banyak peringkat kelulusan sebelum sesuatu keputusan dapat dimuktamadkan, seperti pengisian borang sama berulang kali atau keperluan menyerahkan dokumen fizikal walaupun ada pendigitalan.

“Sebagai contoh, projek kecil di sekolah atau pejabat daerah yang memerlukan banyak peringkat kelulusan atau mendapatkan tandatangan pihak tertentu, walaupun jumlah peruntukan tidak besar. Ada masa ia (kelulusan) mengambil masa berbulan-bulan kerana melibatkan pelbagai jawatankuasa dan pematuhan protokol.

pic-3

“Tidak dinafikan struktur organisasi kerajaan sememangnya kompleks, dengan banyak jabatan mempunyai lapisan hierarki yang panjang dan bidang kuasa yang bertindih secara tidak langsung menyebabkan keputusan tidak dapat dibuat segera. Struktur sebeginilah yang menjadikan proses pentadbiran kaku dan tidak fleksibel, sekali gus mengurangkan keupayaan kerajaan bertindak secara pantas dalam situasi mendesak,’’ tambahnya.

Beliau mengambil contoh Korea Selatan sebagai antara negara yang berjaya mengurangkan beban birokrasi melalui kaedah “regulatory guillotine”, iaitu pemansuhan besar-besaran peraturan usang yang tidak lagi relevan dan boleh dijadikan rujukan oleh sektor awam Malaysia.

 

“RED TAPE”

Pandangan senada turut disuarakan Ketua Sekretariat Penyelidikan Pertubuhan Naratif Malaysia Dr Fairuzzaman Shaharuddin yang menyifatkan RKB sebagai tindakan realistik bagi merombak struktur pentadbiran yang selama ini dibelenggu oleh proses tidak perlu.

Beliau berkata fungsi RKB adalah jelas iaitu mengurangkan ‘red tape’ dalam sistem pentadbiran kerajaan, sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan menjadi lebih cekap dan telus.

‘’RKB berupaya bergerak melalui prinsip memotong ‘red tape’ dengan menghapuskan peraturan yang tidak relevan atau tidak memberi nilai tambah…memang adakalanya peraturan itu perlu untuk memenuhi keperluan Jaminan Kualiti (ISO) atau piawai, tetapi sebenarnya boleh dikurangkan dan ditambah baik.

‘’Ini kerana dalam dunia yang bergerak dengan kelajuan ekonomi baharu, ketidakcekapan termasuk kelewatan kelulusan projek, pertindihan proses dan ketidakselarasan antara agensi kerajaan boleh memberi kesan besar terhadap iklim pelaburan…dan kerana itu ‘red tape’ ini perlu dielakkan agar Malaysia kekal kompetitif dalam landskap global yang menuntut pentadbiran serba cekap,’’ katanya.

Fairuzzaman berkata  pelaksanaan RKB turut dijangka meningkatkan kecekapan pentadbiran melalui pengurangan bilangan dokumen, penyelarasan prosedur antara jabatan, pemansuhan syarat bertindih serta perluasan penggunaan sistem digital.

Usaha itu katanya perlu  disokong menerusi  budaya kerja yang lebih profesional dan berpaksikan prestasi, termasuk mengintegrasi data merentasi agensi kerajaan bagi mengelakkan pertindihan tugasan.

pic-4

Beliau turut berkata, dengan membuang amalan pentadbiran usang ia bakal memberi ruang yang seluasnya kepada penjawat awam untuk menjadi lebih kreatif, inovatif dan berfikir dalam mencari  penyelesaian terhadap sebarang masalah yang ada.

Menerusi indikator prestasi yang lebih jelas dan proses kerja yang lebih fleksibel, penjawat awam lebih  bertanggungjawab terhadap hasil kerja mereka.

‘’Perubahan ini sebenarnya sudah diterjemahkan dalam kerajaan hari ini dan telah menampakkan hasil dengan peningkatan kecekapan dalam perkhidmatan awam. Ia boleh dilihat menerusi Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2024, yang  menjadi antara penanda aras baharu bagi mengukuhkan peranan perkhidmatan awam sebagai peneraju dalam reformasi tersebut.

‘’Antara manfaat yang diterima itu sepertimana yang dilaporkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU)  baru-baru ini apabila lebih RM800 juta telah dijimatkan hasil pelaksanaan RKB di pelbagai peringkat kementerian dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan penjimatan itu dijangka akan terus meningkat hingga akhir tahun ini,’’ katanya.

Rekod turut menunjukkan Malaysia telah melonjak ke tangga ke-23 dalam Laporan Daya Saing Dunia 2025 daripada kedudukan ke-34 pada tahun sebelumnya, menjadikannya pencapaian terbaik sejak 2020.

Lonjakan itu didorong oleh prestasi dalam aspek perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan, serta menandakan kejayaan reformasi Kerajaan MADANI.

 

MUDAHKAN RAKYAT

Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Dr Mazlan Che Soh berkata RKB merupakan pendekatan yang digunakan oleh kerajaan untuk memastikan peraturan atau undang-undang yang digubal adalah berkualiti, telus, efektif dan tidak membebankan rakyat.

Beliau berkata menerusi langkah itu, kerajaan telah memberikan ‘wajah baharu’ kepada sektor awam, di samping memperkukuh landskap organisasi  awam supaya selari dengan keperluan semasa.

Sehubungan itu katanya RKB akan menjadi pencetus dan pendekatan terbaik kepada rakyat sekali gus, rakyat tidak lagi dibebani kerenah birokrasi yang pelbagai.

pic-5

Beliau berkata antara usaha RKB yang telah menampakkan hasil ialah bagaimana Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempercepatkan proses pembaharuan pasport melalui reruai (kiosk) dan sistem janji temu digital yang akhirnya mengurangkan kesesakan di pejabat imigresen.

“ …dengan proses yang lebih ringkas dan standard masa penyampaian yang jelas, rakyat tidak perlu beratur panjang atau mengisi borang yang sama berulang kali.

‘’...dan tentu sekali banyak lagi jabatan-jabatan serta agensi yang akan memperkenalkan usaha inovatif ini bagi mengurangkan kerenah birokrasi. Bagi saya ia landasan tepat demi membaiki perkhidmatan kepada rakyat sekali gus meningkatkan kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan ini,’’ katanya.Menurut Mazlan, RKB juga dilihat  transformasi paling besar dan signifikan membabitkan agensi awam ketika ini dengan manfaatnya yang begitu ketara kepada rakyat.

Antara impak paling positif ialah perkhidmatan agensi kerajaan kini jauh lebih mudah diakses, dengan banyak urusan dapat dilakukan hanya di hujung jari.

‘’Pastinya dengan reformasi yang dilaksanakan secara menyeluruh oleh kerajaan MADANI, rakyat akan merasai perbezaan yang ketara, contohnya dalam pemprosesan MyKad yang kini lebih pantas, pembaharuan cukai jalan secara digital menerusi aplikasi Jabatan Pengangkutan Jalan  dan kelulusan automatik bagi beberapa permohonan lesen perniagaan di bawah selian pihak berkuasa tempatan.

‘’Proses yang dahulu mengambil mungkin masa berhari-hari atau pun berbulan-bulan kini boleh diselesaikan dalam masa singkat. Membayar cukai tanah, cukai pintu dan lain-lain perkhidmatan kerajaan boleh sahaja dilakukan secara dalam talian dan ini akan memberi impak positif dari segi penjimatan kos termasuk masa dan tenaga orang awam,’’ katanya.

 

PERKUKUH INTEGRITI

Dalam pada itu, Mazlan berkata meskipun masih wujud beberapa kelemahan, kerajaan dilihat komited untuk membuat penambahbaikan.

Tambahnya, kecekapan dalam perkhidmatan awam bukan sahaja memperbaiki maklum balas rakyat, malah memperkukuh integriti kerajaan melalui prosedur yang lebih jelas, teratur selain bebas daripada elemen yang membuka ruang kepada salah guna kuasa.

pic-6

‘’Misalnya, apabila permohonan dapat diproses dengan lebih telus, status boleh disemak secara langsung dan aduan mendapat maklum balas segera, rakyat berasakan kerajaan lebih telus sekali gus yakin dengan perkhidmatan organisasi awam.

‘’Contoh ini boleh dilihat dengan kewujudan paparan ‘dashboard’ projek sakit oleh Kementerian Kerja Raya yang menyediakan gambaran telus mengenai projek-projek yang mengalami kelewatan serta langkah pemulihan yang sedang dilaksanakan. Perkara sama turut dilihat pada senarai pemaju perumahan bagi projek sakit yang diterbitkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,’’ katanya.

Pada masa sama katanya, RKB membantu agensi kerajaan beroperasi dengan lebih cekap dengan berorientasikan hasil, sekali gus mewujudkan sistem penyampaian yang diyakini pemain industri.

‘’Merujuk laporan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)  sebelum ini, syarikat berstatus Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) berjaya menjimatkan kos operasi hingga RM200 juta setahun hasil perubahan signifikan sistem pelepasan barang gudang pengilang berlesen, impak daripada program reformasi yang diperkenalkan kerajaan.

‘”Perubahan itu turut berjaya mengurangkan masa pemprosesan daripada tiga hari kepada hanya seminit hasil kerjasama aktif agensi berkaitan termasuk termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan MPC,’’ katanya.

Mazlan turut berkata reformasi yang konsisten bakal meningkatkan imej kerajaan sebagai sebuah pentadbiran yang cekap dan telus.

Secara tidak langsung, pelabur melihat langkah seperti ‘Malaysia Single Window’ dan pemodenan peraturan perdagangan sebagai indikator bahawa negara ini serius meningkatkan daya saingnya.

RKB dirangka kerajaan untuk menyemak semula peraturan sedia ada bagi memastikan pentadbiran cekap, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar terhadap rakyat serta perniagaan.

Program itu disasarkan untuk menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti negara dan memperbaiki indikator birokrasi dalam Laporan Daya Saing Dunia, dengan matlamat mencapai kedudukan ke-12, menjelang 2030.

 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan