EKONOMI

UNTUNG BERSIH CIMB GROUP SUKU KETIGA NAIK KEPADA RM2.08 BILION, UMUM DIVIDEN KHAS TUJUH SEN

28/11/2025 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih CIMB Group Holdings Bhd bagi suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2025 meningkat kepada RM2.08 bilion daripada RM2.03 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan juga meningkat kepada RM5.95 bilion daripada RM5.74 bilion sebelumnya.

CIMB Group dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pendapatan operasinya bagi suku ketiga 2025 menokok 3.6 peratus tahun ke tahun.

Katanya, ia disokong oleh pendapatan bukan faedah (NOII) yang lebih tinggi daripada aktiviti dagangan dan pendapatan pertukaran asing yang kukuh, diimbangi sebahagiannya oleh pendapatan faedah bersih (NII) yang lebih rendah.

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) perbankan pengguna menurun sebanyak 25 peratus tahun ke tahun kepada RM685 juta disebabkan NII yang lebih rendah akibat tekanan pendapatan faedah bersih (NIM) dan peruntukan yang lebih tinggi.

“Dalam pada itu PBT perbankan komersial 16.6 peratus lebih rendah tahun ke tahun susulan pendapatan keseluruhan yang lebih lemah dan peningkatan peruntukan. PBT perbankan borong pula meningkat 57.5 peratus tahun ke tahun terutamanya disebabkan jangkaan pengurangan kerugian kredit pada suku ketiga 2025,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, keuntungan bersih CIMB Group sedikit lebih tinggi iaitu kepada RM5.94 bilion daripada RM5.93 bilion manakala perolehan berkembang kepada RM17.05 bilion daripada RM16.97 bilion sebelumnya.

Pada asas mata wang tetap, jumlah deposit serta baki akaun semasa dan simpanan (CASA) masing-masing bertambah sebanyak 9.1 peratus kepada RM518.1 bilion dan 15.3 peratus tahun ke tahun, sekali gus meningkatkan nisbah CASA kumpulan kepada 44.1 peratus setakat September 2025.

“Ini disumbangkan oleh strategi tunai Forward30 kumpulan yang berjaya meredakan tekanan pemampatan NIM tahun ini akibat siri penurunan kadar faedah yang berterusan,” katanya.

Ia berkata pinjaman kasar berkembang 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM448.2 bilion dan aset berkembang 5.1 peratus tahun ke tahun kepada RM778.5 bilion.

Sementara itu, CIMB Group berkata kualiti asetnya kekal stabil, disokong oleh pemulihan korporat yang berterusan pada suku ketiga 2025 apabila jumlah peruntukan merosot kepada RM330 juta, mencerminkan prestasi kredit yang stabil dalam portfolio utama.

Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia kekal positif terhadap prospek makroekonomi dan perniagaan bagi baki 2025.

Katanya, ia susulan potensi manfaat ekonomi daripada persekitaran kadar faedah global yang semakin berkurang diimbangi oleh ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, pasaran yang tidak menentu dan perkembangan berkaitan tarif.

“Rancangan strategik Forward30 akan terus membimbing tumpuan kumpulan terhadap pertumbuhan CASA dan imbangan kewangan, strategi pengagihan semula modal yang dipacu oleh pulangan modal yang diselaraskan dengan risiko, pengurusan kos yang berdisiplin serta memastikan pemantauan kualiti aset yang berterusan,” katanya.

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen khas satu peringkat sebanyak tujuh sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 yang akan dibayar pada 24 Dis, 2025 bernilai RM754 juta berdasarkan jumlah saham semasa atau sehingga RM760 juta jika semua opsyen saham pekerja yang layak dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan