AM

3,807 GRADUAN DIRAI PADA MAJLIS KONVOKESYEN KE-27 UMS

28/11/2025 11:21 AM

KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Sebanyak 3,807 graduan yang menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-27 Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,098 graduan menerima skrol Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (295); Doktor Falsafah (193), Diploma Pascasiswazah (172) dan 49 graduan Diploma.

Beliau berkata majlis konvokesyen pada kali ini turut meraikan 288 graduan kelas pertama, graduan antarabangsa (125), golongan B40 (77), Orang Kurang Upaya (10) dan seorang graduan Anumerta.

"Satu daripada pencapaian paling bermakna ialah penganugerahan Aegrotat Degree pertama dalam sejarah UMS, sesuatu yang sangat signifikan dan ini menunjukkan komitmen universiti terhadap kesaksamaan akademik serta pengiktirafan terhadap pelajar menghadapi cabaran kesihatan luar biasa tetapi tetap menunjukkan rekod akademik memuaskan.

"Majlis Konvokesyen ke-27 UMS mencerminkan bahawa universiti ini bukan sahaja menghasilkan graduan berkualiti, tetapi juga kekal sebagai sebuah universiti komprehensif berteraskan nilai inklusif, kepelbagaian budaya Borneo serta keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kemanusiaan. Inilah wajah sebenar UMS: The Brain of Borneo," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kasim ketika berkongsi perancangan UMS menjelang 2026 berkata universiti berkenaan sedang memasuki fasa pertumbuhan strategik dengan beberapa perkembangan baharu termasuk memperkenalkan program baharu iaitu Sarjana Muda Sains Senibina, Sarjana Muda Ukur Bahan, Sarjana Muda Sains Dietetik dan Sarjana Muda Sains Perubatan dan Kesihatan.

Beliau berkata program itu merupakan strategi kritikal bagi memenuhi permintaan tenaga mahir tempatan, menyokong pembangunan pesat Sabah serta menyediakan peluang kepada pelajar tempatan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut tanpa perlu ke Semenanjung atau luar negara.

"Pada awal penubuhan, UMS hanya ada empat fakulti yang dahulunya dipanggil Sekolah Teknologi, Sekolah Perdagangan dan Ekonomi, Sekolah Sains Sosial dan Sekolah Psikologi. Kini, UMS ada 13 fakulti dan satu Akademi Seni dan Teknologi Kreatif.

"Dengan pengenalan beberapa program baharu ini, tentunya UMS semakin berkembang dan akan mengalami banyak perubahan pada masa akan datang.

"Penambahan program baharu ini bukan hanya untuk memenuhi keperluan industri, tetapi seiring dengan usaha untuk menjadikan UMS sebagai sebuah universiti komprehensif," katanya.

Menurut Kasim, UMS turut bercadang menubuhkan kampus baharu di luar Kota Kinabalu seperti Tawau, Semporna, Kudat dan beberapa kawasan pedalaman seperti Keningau sebagai inisiatif menarik lebih ramai anak muda Sabah melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Beliau berkata strategi itu dilihat berupaya menyokong pembangunan ekonomi setempat, selain membolehkan pelajar UMS menjalani pengajaran dan pembelajaran berasaskan ekosistem tempatan seperti bidang pertanian di Keningau dan ekopelancongan di Semporna.

"Kita melihat sekiranya UMS meletakkan kampus di pedalaman, ia boleh dijadikan sebagai satu pekan satelit yang akan menarik pertumbuhan ekonomi ke kawasan tersebut," katanya.

Mengulas peranan UMS dalam menyokong pembangunan ekonomi Sabah, Kasim berkata universiti itu merupakan rakan strategik kerajaan Sabah dalam membangunkan tenaga kerja mahir dan dasar ekonomi berasaskan ilmu.

Beliau berkata ini termasuk penyelidikan bidang ekonomi biru, pelancongan, pertanian pintar dan teknologi boleh diperbaharu dengan membantu menjana data serta idea yang boleh diguna pakai dalam dasar negeri.

UMS bukan sahaja melahirkan graduan tetapi juga pemikir dan penyelidik yang membantu membentuk masa depan Sabah lebih makmur, katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan