DUNIA

LEBIH 1,000 INDIVIDU DITAHAN DALAM OPERASI KESELAMATAN BESAR-BESARAN DI ISTANBUL

28/11/2025 06:55 PM

ISTANBUL, 28 Nov (Bernama-Xinhua) -- Polis Turkiye menahan 1,022 individu atas pelbagai kesalahan dalam operasi keselamatan berskala besar di seluruh Istanbul, umum pihak berkuasa pada Jumaat, lapor Xinhua.

Jabatan Polis Istanbul berkata operasi “Peace Istanbul” itu dijalankan pada lewat Khamis dengan sokongan helikopter polis dan bot polis marin.

Hampir 3,000 anggota dikerahkan di seluruh bandar raya berkenaan, dengan mengadakan sekatan jalan raya, memeriksa premis awam dan kad pengenalan.

Lebih 363,000 individu menjalani saringan latar belakang, dan 528 daripada mereka yang ditahan merupakan suspek yang dikehendaki atas pelbagai kesalahan.

Pasukan keselamatan turut merampas senjata api tanpa lesen, pistol kosong, senapang dan peluru, serta lebih satu kilogram dadah dan wang tunai dipercayai berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

Pihak berkuasa turut memeriksa hampir 200 syarikat dan menjalankan pemeriksaan trafik secara meluas. Pegawai berkata operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh keselamatan awam di bandar raya terbesar Turkiye itu.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan