EKONOMI

LABUAN IBFC TERAJUI PENYELESAIAN KEWANGAN ESG, PATUH SYARIAH DAN DIGITAL DI PERINGKAT SERANTAU

28/11/2025 03:34 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 28 Nov (Bernama) -- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) sedang menempatkan dirinya sebagai hab serantau penyelesaian kewangan yang selaras dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), patuh Syariah dan dipacu secara digital bagi menyokong agenda kemampanan Malaysia.

Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Affendi Rashdi berkata hala tuju Labuan IBFC selaras sepenuhnya dengan landskap ESG negara yang semakin maju, terutamanya apabila negara memperkukuh rangka kerja pelaporan berkaitan kemampanan dan iklim melalui inisiatif seperti penambahbaikan pendedahan Bursa Malaysia dan Makmal Inovasi Kewangan Iklim oleh Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3).

“Labuan IBFC adalah sejajar sepenuhnya dengan visi nasional ini,” katanya ketika berucap pada Siri Syarahan Kewangan Antarabangsa Labuan 2025 di sini hari ini.

Affendi berkata taksonomi kemampanan Labuan IBFC (LiST), yang dikeluarkan pada Julai 2024 menyediakan klasifikasi berstruktur bagi aktiviti ekonomi mampan yang dimodelkan mengikut taksonomi ASEAN dan Kesatuan Eropah, sekali gus membolehkan institusi Labuan mengasaskan operasi mereka kepada standard ESG yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Selain pematuhan pelaporan, LiST bertujuan membina kredibiliti, menarik modal yang bertanggungjawab dan meningkatkan daya saing global Labuan,” katanya.

Berlandaskan hala tuju ini, beliau berkata Labuan FSA telah memperkenalkan inisiatif Labuan IBFC untuk ESG pada Januari 2025, iaitu platform kolaboratif antara pengawal selia dan industri yang memberi tumpuan kepada produk mampan yang inovatif, pengukuhan tadbir urus dan pemantauan risiko serta pembangunan kapasiti untuk pemain industri.

Affendi berkata peluasan semula jadi kepada usaha-usaha ini adalah penerapan prinsip kewangan Islam untuk menjana hasil kemampanan yang ketara, satu bidang yang mana Labuan IBFC terus menunjukkan kepimpinannya.

Beliau berkata sukuk iklim pertama di dunia bernilai RMB200 juta (RM116.6 juta) yang diterbitkan melalui Labuan IBFC, mengintegrasikan prinsip Syariah dengan aset berkaitan kredit karbon serta mekanisme tokenisasi digital untuk menjana kredit karbon yang disahkan dan membiayai projek yang diperakui ESG.

“Sejajar dengan momentum ini, Belanjawan 2026 meletakkan Labuan IBFC sebagai hab kewangan Islam digital termasuk pengenalan inisiatif sukuk tokenisasi global untuk meningkatkan ketelusan dan kebolehcapaian,” katanya.

Affendi berkata perkembangan ini menggariskan komitmen Labuan IBFC untuk memacu kewangan Islam digital dan inovasi yang berasaskan kemampanan.

Menyentuh mengenai siri syarahan itu, beliau berkata acara tahunan berkenaan telah lama menjadi platform penting di Labuan IBFC, yang menghimpunkan pemikir industri untuk meneroka idea dan inovasi baharu bagi menyokong fasa pembangunan IBFC yang seterusnya.

Beliau berkata tema tahun ini, “Synergising ESG, Islamic Finance and Digital Pathways for Labuan IBFC”, mencerminkan persekitaran kewangan global di mana imperatif kemampanan, kemajuan teknologi dan kewangan beretika saling bertumpu.

“Penumpuan ini sedang membentuk semula peruntukan modal, penilaian risiko dan penciptaan nilai jangka panjang, membuka peluang strategik untuk pusat kewangan seperti Labuan IBFC,” katanya sambil menambah perbincangan hari ini berfungsi sebagai platform yang tepat pada masanya untuk meneroka bagaimana elemen-elemen ini dapat disinergikan bagi pertumbuhan mampan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan