AM

JUMLAH MANGSA BANJIR DI TUJUH NEGERI TERUS BERKURANGAN, PAHANG SEDIKIT MENINGKAT

01/12/2025 09:20 AM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa di lapan negeri dilanda banjir di Semenanjung terus mencatatkan penurunan kecuali Pahang yang merekodkan sedikit peningkatan setakat 8 pagi ini.

Di PAHANG, jumlah mangsa meningkat kepada 610 orang daripada 206 keluarga berbanding 585 orang daripada 202 keluarga malam tadi dengan Temerloh merekodkan bilangan teramai iaitu 223 orang daripada 77 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

Daerah lain yang terjejas ialah Lipis, Bera, Jerantut dan Kuantan. 

Menurut Infopublic banjir,  tiga sungai utama di negeri itu mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Pahang di Jambatan Kereta api (35.12 meter), Sungai Pahang di Waterfront (28.76 meter) dan Sungai Pahang di Lubuk Paku (19.12 meter).

Tujuh negeri lain terus mencatatkan penurunan termasuk TERENGGANU dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,752 orang daripada 552 keluarga berbanding 2,018 orang daripada 650 keluarga malam tadi.

Berdasarkan InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 50 PPS masih dibuka di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Marang, Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman.

‎Di SELANGOR, seramai 2,707 individu daripada 752 keluarga masih berada di 30 PPS di Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Sabak Bernama, berbanding 2,789 individu daripada 777 keluarga malam tadi. 

‎Di NEGERI SEMBILAN, InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa yang ditempatkan di dua PPS di Port Dickson merosot kepada 79 individu membabitkan 44 keluarga berbanding 89 orang daripada 49 keluarga malam tadi.

Situasi banjir di PERAK pula terus menunjukkan tanda pulih apabila jumlah mangsa terus berkurangan kepada 4,766 orang daripada 1,447 keluarga yang masih berlindung di 30 PPS di lima daerah berbanding 4,840 orang daripada 1,486 keluarga malam tadi.

Sementara itu, mangsa banjir di KEDAH terus mencatatkan penurunan kepada 264 orang daripada 83 keluarga berbanding 342 orang daripada 104 keluarga malam tadi dengan kesemua mangsa masih berlindung di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pekan dan SK Tunjang.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 12 PPS membabitkan Padang Besar, Kangar dan Arau terus berkurangan daripada 3,009 orang malam tadi kepada 2,523 mangsa pagi ini.

Sementara itu, KELANTAN pula menyaksikan Pasir Mas kekal sebagai satu-satunya jajahan terjejas banjir membabitkan 894 mangsa daripada 305 keluarga yang berlindung di empat PPS.

Dari segi paras air sungai utama, sebahagian besar berada pada tahap normal atau menunjukkan penurunan kecuali Sungai Pergau di Kampung Lawar, Jeli (99.93 meter), yang direkodkan berada pada paras bahaya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan