AM

TUJUH KENDERAAN RAKYAT MALAYSIA TERJEJAS BANJIR DI HAT YAI DIBAWA MASUK MELALUI ICQS RANTAU PANJANG

01/12/2025 10:11 PM

PASIR MAS, 1 Dis (Bernama) -- Tujuh kenderaan milik rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar di Hat Yai berjaya dibawa masuk semula ke negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang sejak 28 Nov lepas.

Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Rantau Panjang Bakri Sulaiman berkata setiap kenderaan yang dibawa menggunakan trak tunda Thailand itu akan diserahkan kepada trak tunda Malaysia di kawasan sempadan sebelum menjalani pemeriksaan wajib oleh AKPS bersama agensi lain termasuk Jabatan Kastam dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Beliau berkata pemeriksaan ketat itu bagi memastikan tiada unsur penyeludupan serta mengesahkan pemilik sebenar kenderaan.

“Pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh termasuk bahagian dalam kenderaan dan semakan dokumen berkaitan,” katanya kepada pemberita di ICQS Rantau Panjang hari ini.

Bakri berkata jumlah kenderaan yang dijangka masuk menerusi Rantau Panjang tidak dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada pemilik kenderaan serta syarikat trak tunda yang menguruskan penghantaran dari Thailand.

“AKPS tidak berkompromi dalam aspek keselamatan sempadan. Setiap kenderaan yang masuk perlu melalui pemeriksaan teliti sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan,” katanya.

Sebelum ini, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dilapor berkata lebih 500 kenderaan rakyat Malaysia terjejas akibat banjir besar di Hat Yai pada 22 Nov lepas.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan