AM

BANJIR: LEBIH 300 CALON SPM DI PERAK DIPINDAH PUSAT PEPERIKSAAN - EXCO

01/12/2025 11:24 AM

IPOH, 1 Dis (Bernama) -- Seramai 306 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari empat sekolah di Perak dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu susulan banjir di negeri itu ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata mereka terdiri daripada 275 calon sekolah dan 31 calon persendirian yang terpaksa dipindahkan kerana keadaan sekolah tidak selamat susulan musibah banjir.

“Mereka ialah calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Teluk Intan melibatkan 67 calon sekolah dan 11 calon persendirian yang berpindah ke SMK Seri Perak; calon dari SMK Seri Kandi, Teluk Intan melibatkan 59 calon sekolah yang akan mengambil peperiksaan di SMK Seri Setia.

“Calon dari SMK Tun Abdul Razak, Selekoh, Badan Datuk seramai 93 (sekolah) dan 20 (persendirian) yang akan berpindah ke Dewan Masjid Tuminah Hamidi serta 56 calon sekolah dari SMK Datuk Idris, Pantai Remis, Manjung akan berpindah ke SMK Pantai Remis,” katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka) mengenai langkah kerajaan negeri terhadap pelajar di sekolah termasuk yang terlibat dengan bencana banjir.

Khairudin juga berkata turut dipindah ialah 20 calon dari Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan yang terlibat dengan insiden runtuhan cerun dan mereka akan mengambil peperiksaan di SMK Pangkor.

Setakat 8 pagi, Perak merekodkan sejumlah 4,766 mangsa daripada 1,447 keluarga yang masih berlindung di 30 pusat pemindahan sementara susulan banjir di lima daerah iaitu Hilir Perak, Manjung, Bagan Datuk, Perak Tengah serta Larut Matang dan Selama.

Menjawab soalan asal Jason mengenai keselamatan sekolah, Khairudin berkata kerajaan melalui Kementerian Pendidikan sentiasa memberi penekanan terhadap aspek Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan di premis berkenaan bagi menjamin kesejahteraan murid selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat serta kondusif.

“Antara langkah utama yang dilaksanakan ialah Dasar, Garis Panduan, Surat Pekeliling Ikhtisas dan Surat Siaran berkaitan aspek pengurusan keselamatan murid merangkumi aktiviti dijalankan di dalam dan juga di luar sekolah,” katanya.

Beliau berkata turut dilaksana pemantauan dan audit keselamatan berterusan melalui Sistem Penarafan Keselamatan Sekolah selain kerjasama agensi serta pendidikan pencegahan melalui kolaborasi dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

-- BERNAMA 



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan