EKONOMI

KEDAI ELEKTRIK TEMPATAN PERTAMA DMDI DILANCAR, KETENGAH JENAMA SELAMAT

01/12/2025 12:32 PM

MELAKA, 1 Dis (Bernama) -- Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) melalui anak syarikatnya, DMDI Ventures melancarkan kedai barangan elektrik pertamanya yang menawarkan pelbagai produk elektrik buatan tempatan dengan jenama Selamat.

Pengurus DMDI Ventures Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata pembukaan cawangan pertama dalam negara itu merupakan langkah strategik untuk memperkukuh rantaian bekalan perkakasan elektrik 100 peratus jenama tempatan yang semakin mendapat tempat dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

“Ini adalah hasil kerjasama strategik dengan May Quality Industries, pengeluar barangan elektrik dari Muar, Johor sejak 1999. Produk yang dijual adalah berkualiti tinggi yang sudah lama dieksport ke Amerika Syarikat, Arab Saudi dan beberapa negara lain.

“Keyakinan kami adalah daripada kualiti serta pematuhan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) terhadap setiap barangan,” katanya selepas Majlis Pembukaan Kedai Elektrik DMDI Ventures semalam.

Ia dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam yang juga Presiden DMDI di Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini. 

Norsabrina berkata cawangan itu menawarkan lebih 260 pelbagai produk elektrik merangkumi kabel, soket, fius, perkakasan industri serta barangan siap seperti kipas angin, cerek elektrik dan periuk nasi.

Katanya dengan penawaran harga yang kompetitif, cawangan itu dilihat mampu menjadi pusat pembekalan barangan elektrik kepada kontraktor, syarikat penyelenggaraan, syarikat perunding elektrik, perusahaan kecil dan sederhana, agensi kerajaan dan anak syarikat kerajaan negeri.

“Kita akan menambah rangkaian produk dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan kontraktor dan pemain industri.

“Kita percaya pembukaan cawangan ini turut membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, selain menyumbang kepada ekosistem ekonomi Melaka melalui peningkatan permintaan runcit serta sokongan perniagaan antara kontraktor dan pengeluar tempatan,” katanya, yang turut merancang untuk menambah jumlah cawangan pada masa depan. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan