EKONOMI

DEWAN RAKYAT LULUS DUA RUU BERKAITAN CUKAI

01/12/2025 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2025 yang merangkumi pindaan ke atas lima akta percukaian, iaitu Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 dan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967.

Menjelaskan antara pindaan utama dalam RUU tersebut, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kerajaan akan melaksanakan cukai ke atas pendapatan agihan keuntungan syarikat liabiliti terhad (PLT) yang diterima oleh perkongsi, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2026.

Langkah itu bertujuan menyamaratakan layanan cukai antara perkongsi individu dan pemegang saham individu, selaras dengan pelaksanaan cukai dividen dua peratus bermula tahun taksiran 2025.

“Pengenaan cukai ke atas agihan keuntungan yang diterima oleh perkongsi PLT ini adalah lebih kepada usaha untuk terus menambah baik struktur cukai pendapatan individu supaya ia menjadi lebih progresif. 

“Selain itu, kadar dua peratus merupakan kadar minimum dan kerajaan berpandangan bahawa kadar kadar ini berserta nilai ambang RM100,000 dijangka tidak memberi beban tambahan kepada perkongsi,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan.

Lim berkata kerajaan turut mengambil maklum saranan agar disediakan laporan impak secara menyeluruh dan menilai semula kadar dua peratus itu supaya tidak menjejaskan pertumbuhan industri perkhidmatan bernilai tinggi.

Mengulas isu “double taxation” yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim dan Ahli Parlimen Padang Rengas Kapten Azahari Hasan dari Perikatan Nasional (PN), Lim menjelaskan bahawa perkara itu tidak berbangkit kerana PLT sebagai entiti perniagaan hanya membayar satu jenis cukai iaitu cukai pendapatan pada kadar syarikat, manakala cukai dua peratus dibayar oleh individu yang merupakan perkongsi.

Sementara itu, menyentuh isu duti setem dan pelaksanaan sistem taksiran sendiri duti setem yang dibangkitkan beberapa ahli Parlimen, beliau berkata pendekatan tersebut bukan sesuatu yang baharu dan selaras dengan amalan antarabangsa.

“Sistem taksiran sendiri ini melibatkan penggunaan elektronik dalam aspek pengiraan cukai dan penghantaran dokumen. Ia memudahkan proses perniagaan serta meningkatkan kedudukan negara dalam penilaian Bank Dunia di bawah inisiatif Business Ready.

“Sistem taksiran sendiri bukan beban tambahan kepada pembayar cukai. Ia telah diperkenalkan sejak 2001 bagi pembayar cukai korporat dan diperluas kepada individu pada 2003. Reformasi ini berjaya meningkatkan pematuhan cukai dan memberi kesan positif kepada kutipan hasil negara,” katanya.

RUU ini telah dibahaskan oleh lapan Ahli Parlimen, iaitu Kampar, Pendang, Gerik, Bachok, Beruas, Tanjong Karang, Rantau Panjang dan Padang Rengas.

Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2025 pada bacaan kali ketiga.

Lim berkata RUU tersebut merupakan pindaan bersifat pentadbiran bagi tujuan mengawal selia kutipan dan penguatkuasaan cukai yang lebih berkesan serta memperkukuh agenda pendigitalan pentadbiran percukaian.

Katanya, pindaan terhadap RUU tersebut menyasar penggunaan meluas platform digital dalam pemfailan cukai, pemprosesan dokumen dan semakan bayaran balik, sejajar dengan dasar pendigitalan negara. 

RUU Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2025 pula telah dibahaskan oleh enam Ahli Parlimen, iaitu Kota Melaka, Pendang, Gerik, Kampar, Dungun dan Temerloh.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan