KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd (PMRMB) memaklumkan jeti produknya di Port Dickson Refinery (PDR), yang terletak di luar pesisir Port Dickson, Negeri Sembilan mengalami kerosakan dan sebahagiannya runtuh susulan ribut tropika Senyar pada Jumaat lepas.
“Kesemua lapan anggota yang berada di jeti telah dipindahkan dengan selamat dan berada dalam keadaan baik, dan tiada tumpahan minyak di lautan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Menurut PMRMB, jeti berkenaan digunakan untuk menerima dan memunggah produk bertapis antara PDR dan kapal tangki.
Sehubungan itu, PDR akan menghentikan sementara operasi untuk tempoh beberapa hari akan datang, dan tidak boleh menerima dan memproses minyak mentah yang tiba di kilang penapisan itu.
Bagaimanapun, Pelan Kesinambungan Perniagaan PMRMB telah diaktifkan bagi memastikan bekalan produk petroleum siap kepada orang ramai melalui stesen minyaknya dapat diteruskan, menerusi import tambahan dan/atau saluran bekalan alternatif.
PMRMB berkata pihaknya sedang menilai langkah alternatif segera untuk menangani situasi berkenaan dan memulihkan operasi kilang penapisan itu secepat mungkin.
"PMRMB akan membuat pengumuman selanjutnya jika perlu. Pada masa ini, syarikat masih menilai kos pembaikan dan impak kewangan keseluruhan akibat kejadian itu," katanya.
Pada 27 November, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut tropika Senyar yang dikesan di utara Sumatera dan berada kira-kira 102 kilometer (km) ke barat daya Lumut, Perak.
Ribut itu bergerak ke arah timur tenggara merentasi perairan Selat Melaka menuju ke barat Semenanjung Malaysia dengan kelajuan sekitar 24 km sejam.
-- BERNAMA
