JENAYAH & MAHKAMAH

ZARA QAIRINA ADU GANGGUAN SEKSUAL SEAWAL SEBULAN BERSEKOLAH - GURU DISIPLIN

01/12/2025 04:23 PM

KOTA KINABALU, 1 Dis (Bernama) -- Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa Zara Qairina Mahathir pernah membuat aduan berkaitan gangguan seksual yang didakwa berlaku ketika pelajar Tingkatan Satu itu tidur di bilik asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar.

Penolong Ketua Guru Disiplin Nurul Syahadah Ibrahim, 38, berkata unit disiplin menerima aduan itu pada 14 Mac iaitu sebulan selepas pelajar tersebut mendaftar di sekolah berkenaan.

“Ya, Zara Qairina pernah membuat aduan mengenai gangguan seksual yang didakwa dilakukan oleh seorang pelajar Tingkatan Dua ketika dia sedang tidur... Zara Qairina mendakwa pelajar itu menghidu bahagian sulitnya... bagaimanapun, hasil siasatan mendapati pelajar itu hanya menghidu selimut yang dipakai Zara Qairina sebelum membawanya untuk dicuci.

“Selepas mengambil keterangan bertulis serta menemu bual setiap pelajar terlibat, unit disiplin mendapati insiden itu berpunca daripada salah faham, dan pelajar berkenaan tidak berniat selain bergurau... saya sendiri meminta pelajar itu membuat demonstrasi bagaimana dia menghidu selimut tersebut,” katanya.

Saksi ke-54 itu berkata demikian ketika disoal peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada lima remaja iaitu tertuduh dalam kes buli membabitkan arwah, pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Ketika ditanya Ram Singh sama ada beliau mempercayai demonstrasi yang dibuat oleh pelajar Tingkatan Dua berkenaan, Nurul Syahadah menjawab: “Ya, benar.”

Ditanya sama ada beliau tidak mempercayai aduan Zara Qairina, saksi itu berkata unit disiplin memerlukan keterangan tambahan kerana ketika kejadian, pelajar Tingkatan Satu berkenaan didakwa sedang tidur.

“Kami memerlukan keterangan rakan sebiliknya, iaitu pelajar A dan pelajar Tingkatan Dua itu. Ketika itu, pelajar A sedang melipat baju,” katanya.

Berhubung dakwaan bahawa seorang senior dikenali sebagai "Kak M" pernah mengeluarkan kata-kata “kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ni”, saksi berkata pelajar itu bukan seorang gengster.

Sebaliknya, beliau berkata insiden itu berlaku selepas Zara Qairina dan pelajar A didakwa melakukan "kecam badan" terhadap adik Kak M dengan memanggilnya "chipsmore" kerana remaja tersebut mempunyai tahi lalat di bahagian mulut.

Nurul Syahadah turut mengesahkan bahawa kumpulan "Circle 19" masih wujud di sekolah itu kerana ahlinya bersekolah di situ namun mereka dilarang untuk "berpuak-puak".

Beliau juga bersetuju bahawa kumpulan itu menggunakan perkataan yang tidak senonoh terhadap pelajar lain.

Bagaimanapun, saksi itu berkata beliau tidak pasti sama ada laporan polis perlu dibuat mengenai perkara tersebut.

Pada peringkat ini, Ram Singh yang kelihatan kecewa, berkata beliau akan membuat laporan polis mengenai "Circle 19" bagi mengelakkan berlaku satu lagi kematian di sekolah berkenaan.

Beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Luyang dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan itu serta sekolah berkenaan.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan