KOTA KINABALU, 1 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) bersedia untuk bekerjasama dan menyokong pembentukan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerjasama itu dizahirkan demi memastikan Sabah terus berada dalam landasan kestabilan, kemakmuran dan pembangunan yang berterusan demi rakyat negeri ini.
"BN juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh jentera parti dari seluruh pelosok negara yang telah bertungkus lumus sejak hari pertama kempen hingga ke saat terakhir," menurutnya dalam kenyataan disini hari ini.
Beliau juga berkata segala keringat, masa dan komitmen yang dicurah melambangkan kesetiaan dan semangat perjuangan demi parti serta demi kepentingan rakyat.
Zambry berkata BN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada calon gabungan politik itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
"PRN ini merupakan suatu proses demokrasi yang matang, dan BN menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat dengan hati yang terbuka serta penuh rasa hormat terhadap suara dan mandat mereka," katanya.
PRN Sabah ke-17, yang berlangsung Sabtu lepas, menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.
Parti Warisan pula meraih 25 kerusi diikuti BN (6), Bebas (5), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu atau UPKO (3), Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR (2) manakala Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Pakatan Harapan masing-masing menang satu kerusi.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
