EKONOMI

FBG TAMBAH PAKEJ KERJA RM132.51 JUTA KEPADA KONTRAK KEMENTERIAN PERTAHANAN AUSTRALIA

01/12/2025 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- FBG Holdings Bhd memeterai pindaan ketiga kepada kontraknya dengan Kementerian Pertahanan Australia iaitu menambah satu lagi pakej kerja bernilai RM132.51 juta kepada projek infrastruktur di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Butterworth, Pulau Pinang.

Pindaan ini dibuat di bawah Kontrak Utama (Antarabangsa) sedia ada dan Perjanjian Usaha Sama di antara FBG Builder Sdn Bhd (FBSB) dengan Avionics Pty Ltd (APL) untuk projek tersebut.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FBG berkata pihak yang terlibat bersetuju untuk memasuki Perjanjian Pindaan No. 3 (DOA No. 3) bagi menambah satu peringkat kerja baharu iaitu Penggantian Turapan Fleksibel (Peringkat 3) kepada kontrak berkenaan.

FBG berkata daripada nilai kontrak baharu itu, FBSB akan menerima RM92.78 juta manakala APL akan menerima RM39.73 juta.

"Kontrak ini dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2026 dan 30 Jun, 2027.

"Ia tidak akan memberi kesan material terhadap modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama FBG," katanya.

Susulan pindaan ini, jumlah nilai keseluruhan projek kini berjumlah RM311.04 juta dan AUD2.38 juta.

Tempoh kontrak juga dilanjutkan dengan Peringkat 1 berlangsung sehingga 6 Jan, 2026 manakala Peringkat 2 dan Peringkat 3 berakhir pada 18 Sept, 2026.

"Tiada kelulusan diperlukan daripada pemegang saham FBG untuk melaksanakan DOA No. 3," kata syarikat itu.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan