KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Syarikat perniagaan di Malaysia adalah antara yang paling berkeyakinan di peringkat global dengan 92 peratus menjangkakan pertumbuhan dalam dua tahun yang akan datang, mengatasi purata global sebanyak 87 peratus, menurut HSBC Global Trade Pulse Survey.
Ketua Solusi Perdagangan Global HSBC Malaysia Shreyas Krishna berkata syarikat perniagaan di Malaysia menunjukkan tahap optimisme, kesiapsiagaan dan keyakinan yang lebih tinggi daripada purata berhubung pertumbuhan perdagangan dan dasar setelah berjaya melalui fasa inflasi dan kadar faedah yang tinggi.
"Trend ini menunjukkan perniagaan sentiasa menyesuaikan operasi kepada landskap perdagangan dan tarif yang kian berubah.
"Syarikat kini mempunyai peluang besar untuk mereka semula diri dan menggandakan potensi pertumbuhan berikutan peluang meluas yang ditawarkan oleh perdagangan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut tinjauan itu, Malaysia menonjol sebagai penerima manfaat yang jelas daripada persekitaran semasa perdagangan yang dinamik, dengan 51 peratus firma melaporkan kesan positif daripada tarif dan ketidaktentuan perdagangan pada masa kini, peningkatan lapan mata peratusan berbanding enam bulan lalu.
Pada masa depan, jangkaan untuk dua tahun yang akan datang dilihat lebih meyakinkan dan peratusan itu mencecah kepada 69 peratus.
Ia berkata syarikat Malaysia semakin cenderung kepada perdagangan intra-Asia, dengan 64 peratus dijangka meningkatkan kebergantungan kepada Asia Tenggara, berbanding purata global sebanyak 34 peratus.
“Selain itu, 47 peratus daripada firma-firma ini merancang untuk meningkatkan kebergantungan mereka kepada Asia Timur dan Asia Utara, manakala 42 peratus menyasarkan untuk meluaskan jaringan dengan Asia Selatan.
"Trend ini mencerminkan fokus yang lebih bertumpu kepada perdagangan intra-Asia, apabila firma mengutamakan kerjasama dan peluang serantau di samping koridor perdagangan global yang lain," katanya.
Tinjauan itu menyatakan bahawa untuk mengukuhkan daya tahan, syarikat kini melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani risiko perdagangan dan mengekalkan daya saing, dengan 49 peratus perniagaan Malaysia menyemak semula strategi penentuan harga, 47 peratus melaksanakan pelan pengurusan risiko dan 43 peratus mempelbagaikan sumber pendapatan.
"Tinjauan yang sama menunjukkan 48 peratus perniagaan kini mengambil langkah penimbalan inventori untuk menangani gangguan bekalan dengan meningkatkan tahap stok, manakala 42 peratus mempelbagaikan syarikat pembekal bagi meluaskan jaringan rentas pelbagai rantau.
"Pelaburan dalam alat untuk keterlihatan rantaian bekalan juga menjadi keutamaan, dengan 44 peratus syarikat sudah membuat pelaburan itu manakala 45 peratus yang lain merancang untuk membuatnya," katanya.
Selain itu, sejak 2024, sebanyak 68 peratus perniagaan mengalami perubahan dalam keperluan modal kerja disebabkan ketidaktentuan dalam perdagangan dan tarif, menurut tinjauan berkenaan.
Walaupun dengan langkah-langkah ini, syarikat di Malaysia masih terdedah kepada faktor pasaran luaran, dengan 67 peratus menyatakan perubahan pendapatan disebabkan penyesuaian tarif, 53 peratus akibat perubahan penentuan harga dan 52 peratus kerana turun naik kadar pertukaran.
Memandangkan keadaan perdagangan menjadi semakin kompleks, syarikat semakin mencari sokongan luar, mendapatkan panduan mengenai pengembangan atau penjajaran semula rantaian bekalan, memerlukan sokongan dalam perancangan krisis dan daya tahan, serta bantuan dalam pematuhan, tarif dan peraturan kawal selia.
Tinjauan HSBC ini merangkumi maklum balas daripada 6,750 pembuat keputusan di 17 pasaran, termasuk 250 syarikat yang berpangkalan di Malaysia.
-- BERNAMA
