KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Anugerah Majikan Terulung 2025 anjuran Jobstore mengiktiraf majikan serta pemimpin Sumber Manusia (HR) yang menunjukkan kecemerlangan dalam membina budaya kerja positif, memacu inovasi dan menjamin kejayaan jangka panjang organisasi masing-masing.
Majlis yang berlangsung pada 27 Nov itu menonjolkan pencapaian cemerlang dalam bidang kepimpinan dan pengurusan sumber manusia, selain menghargai mereka yang terus menetapkan standard tertinggi dalam landskap profesional negara.
Dalam satu kenyataan, Jobstore memaklumkan bahawa anugerah berkenaan meraikan organisasi terbaik merentas pelbagai sektor, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat swasta, syarikat tersenarai awam, perkhidmatan awam serta syarikat multinasional.
“Anugerah Majikan Terulung 2025 bukan sekadar sebuah majlis penganugerahan. Ia berfungsi sebagai platform untuk berhubung, berkongsi pengalaman serta menghargai dedikasi, inovasi dan kecemerlangan majikan terkemuka negara,” menurut kenyataan itu.
Anugerah tersebut mengetengahkan majikan, pasukan, syarikat dan individu berprestasi tinggi dalam bidang masing-masing menerusi enam kategori utama dan 24 subkategori.
Kategori anugerah tersebut memberi pengiktirafan terhadap kecemerlangan dalam bidang utama seperti Majikan Terbaik Tahun Ini, Tempat Kerja Terbaik, Pilihan Graduan, Pasukan HR Terbaik, selain anugerah individu bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terbaik dan Pemimpin HR Terbaik.
Majlis turut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyCareerFair, Daniel Chong, yang menekankan kepentingan mengiktiraf pencapaian unggul dan komitmen dalam bidang kepimpinan serta pengurusan sumber manusia.
Penerima Anugerah Majikan Terbaik Tahun Ini termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad, AirAsia, Watsons Malaysia, Boost, Yayasan Pahang, CelcomDigi Berhad, Telekom Malaysia, Segi Value Holdings Sdn Bhd, IJM Corporation Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
-- BERNAMA
