AM

DEWAN RAKYAT LULUS RUU PROFESION UNDANG-UNDANG (PINDAAN) (NO.2) 2025

01/12/2025 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Undang-Undang (Pindaan) (No.2) 2025, antara lain bertujuan melarang pelantikan individu yang memegang jawatan dalam parti politik sebagai anggota Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata perkara itu termaktub di dalam subseksyen 7 (3) pindaan Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166) itu.

“Dengan wujudnya perlindungan ini, tidak seharusnya berbangkit kebimbangan dalam kalangan Ahli Parlimen mengenai dakwaan mengenai pengaruh, campur tangan atau lantikan politik dalam LPQB,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.

Beliau berkata pindaan itu juga akan memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan dan akauntabiliti LPQB, selaras usaha menambah baik profesion perundangan di Malaysia.

Pindaan lain terhadap Akta 166 itu melibatkan Seksyen 4 untuk menjelaskan status LPQB sebagai suatu pertubuhan perbadanan yang mempunyai keupayaan dari segi undang-undang.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan