NANJING, 1 Dis (Bernama-Xinhua) -- Laluan udara kargo baharu yang menghubungkan Nanjing di timur China dan Kuala Lumpur, Malaysia, mula beroperasi pada Ahad, menandakan perluasan rangkaian pengangkutan kargo global Nanjing, lapor Xinhua.
Dikendalikan oleh Raya Airways dari Malaysia, pesawat kargo B767-200 yang membawa lebih 38 tan barangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Nanjing Lukou menuju ke Kuala Lumpur dalam penerbangan yang mengambil masa lebih lima jam.
Penerbangan keluar terutamanya membawa tekstil, komponen elektronik dan barangan e-dagang rentas sempadan, manakala penerbangan masuk pula dijangka membawa hasil segar Asia Tenggara seperti ketam lumpur dan ikan beku.
Lapangan Terbang Antarabangsa Nanjing Lukou, yang terletak di Wilayah Jiangsu, kini mengendalikan tujuh laluan udara kargo antarabangsa, termasuk perkhidmatan ke Amsterdam, Mexico City dan Seoul.
Laluan Kuala Lumpur yang baharu ini dijangka mengukuhkan kesalinghubungan kargo udara Nanjing dengan Asia Tenggara dan akan menyediakan saluran logistik yang lebih cekap untuk perniagaan e-dagang rentas sempadan di Nanjing dan wilayah berdekatan.
-- BERNAMA-XINHUA
