JENAYAH & MAHKAMAH

SIASATAN KES SYAMSUL HARIS KINI DI BAWAH BUKIT AMAN - KETUA POLIS JOHOR

03/12/2025 11:40 AM

JOHOR BAHRU, 3 Dis (Bernama) -- Siasatan berhubung kes membabitkan pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Shamsudin, kini diambil alih oleh Bukit Aman.

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kes itu berada di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, dan tidak lagi di bawah bidang kuasa polis Johor.

“Dari segi proses siasatan serta langkah seterusnya, saya tidak dapat memberikan butiran lengkap kerana perkara ini berada di bawah tanggungjawab Bukit Aman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam yang mengarahkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

AGC memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendengar taklimat mengenai hasil siasatan PDRM berhubung kematian Allahyarham.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram. Kes itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian membenarkan permohonan keluarga Allahyarham untuk penggalian semula kubur dan bedah siasat kali kedua.

Jenazah yang dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Semenyih, telah dibedah siasat semula di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Ogos sebelum dikebumikan semula pada hari yang sama.

Sementara itu, UTM dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya mengambil maklum keputusan AGC dan menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam siasatan lanjut.

UTM juga menegaskan universiti tidak akan melindungi mana-mana individu yang didapati terlibat.

“UTM sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang (rule of law), serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan bagi memastikan keadilan ditegakkan,” menurut kenyataan universiti itu.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan