AM

MYGAME–COP, PROSTAR 2.0 PACU AGENDA KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN BELIA – TPM ZAHID

03/12/2025 04:11 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan bersetuju memperkenalkan dua inisiatif utama, iaitu Malaysia Against Malicious Exploitation–Community of Practice (MYGAME–CoP) dan PROSTAR 2.0, yang dijangka memberi impak besar kepada kesejahteraan serta keselamatan belia di negara ini.

MYGAME–CoP merupakan inisiatif pencegahan ekstremisme dalam ruang permainan digital, manakala PROSTAR 2.0: Ke Arah Mengakhiri AIDS 2030 pula memberi tumpuan kepada kesihatan belia serta peranan mereka sebagai agen perubahan dalam komuniti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua inisiatif itu dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) kali ke-6 yang dipengerusikannya hari ini.

“JKPB terus menjadi platform utama kerajaan untuk menyelaras dasar pembangunan belia secara inklusif, terancang, menyeluruh dan bersepadu selaras komitmen kerajaan MADANI dalam melahirkan generasi muda yang berwawasan dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Zahid berkata MYGAME–CoP yang dibentangkan Kementerian Luar bakal menjadi platform kerjasama antara agensi kerajaan, penyelidik, penyedia platform permainan digital dan komuniti pemain.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan menghalang eksploitasi ruang permainan oleh pihak berniat jahat atau kumpulan ekstremis, membangunkan garis panduan keselamatan, mewujudkan kerangka perkongsian maklumat antara pihak berkepentingan serta meningkatkan ketahanan digital belia melalui pendidikan, kesedaran dan sokongan teknikal.

“MYGAME–CoP memastikan belia dilindungi di alam maya dan menyumbang kepada keselamatan serantau dalam menangani ekstremisme moden,” katanya.

Pengerusi JKPB itu berkata PROSTAR 2.0 yang dibentangkan Kementerian Kesihatan, memberi penekanan kepada pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif secara menyeluruh untuk belia, selain memperkukuh penglibatan mereka sebagai agen perubahan rakan sebaya (peer educators) dalam menyampaikan mesej kesihatan.

Ia turut memberi tumpuan kepada intervensi awal tingkah laku berisiko, pengurangan stigma berkaitan HIV/AIDS, serta kerjasama strategik dengan institusi pendidikan, pertubuhan belia dan pusat komuniti bagi memperluas capaian.

“Program ini menyokong komitmen negara untuk mencapai sasaran Mengakhiri AIDS Menjelang 2030, sekali gus memberdayakan belia sebagai pemimpin perubahan dalam kesihatan awam,” katanya.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut menekankan bahawa belia merupakan pemacu utama kemajuan negara, dan agenda pembangunan mereka bersifat rentas kementerian.

“Kesejahteraan sosial belia turut diberi perhatian, termasuk isu kesihatan mental, penyalahgunaan dadah, buli dan buli siber, ketagihan digital serta kemurungan.

“Kerjasama antara kementerian, institusi pendidikan, pertubuhan belia, ibu bapa dan sektor swasta amat penting bagi membina ekosistem sokongan yang menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat juga mengambil maklum usaha kerajaan menyantuni rakyat berumur 30 hingga 40 tahun melalui kesinambungan bantuan sedia ada, selaras penguatkuasaan had umur belia baharu iaitu bawah 30 tahun mulai 1 Jan 2026.

“Dengan komitmen bersepadu semua pihak, kerajaan yakin Malaysia mampu melahirkan generasi muda yang berdaya tahan, berintegriti, berketerampilan dan bersedia memacu kemajuan negara ke arah masa depan lebih makmur dan sejahtera,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan