AM

PROGRAM RANCAKKAN MADANI HIMPUN INISIATIF KERAJAAN, SASAR KEHADIRAN 300,000 PENGUNJUNG

03/12/2025 09:32 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Program Rancakkan MADANI yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Dis ini di pekarangan Dataran Putrajaya dijangka menarik lebih 300,000 pengunjung, sekali gus menjadi program komunikasi rakyat terbesar anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri setakat ini.

Ketua Komunikasi Korporat PACU Sapian Mamat berkata sasaran itu mengambil kira kepelbagaian pengisian merangkumi pameran perkhidmatan kerajaan, sesi libat urus, forum dasar, pameran aset serta program tarikan rakyat yang disusun sebagai platform menyeluruh untuk menyampaikan manfaat kerajaan kepada orang awam. 

“Program ini akan menghimpunkan inisiatif kerajaan yang telah dilaksanakan sepanjang 2025 dan inisiatif Belanjawan 2026. 

“Terdapat lebih 30 reruai perkhidmatan kerajaan akan dibuka bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat, mengemukakan pertanyaan serta memahami penambahbaikan yang sedang dilaksanakan dalam perkhidmatan awam,” katanya pada sesi taklimat dan lawatan ke lokasi Program Rancakkan MADANI di sini hari ini.

Program tiga hari berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Pada masa sama, program berkenaan menjadi platform mempromosi dan menyebar luas Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), setelah pembaharuan digerakkan oleh Kerajaan MADANI bagi memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan awam.

Sapian berkata ruang komunikasi secara bersemuka itu penting supaya rakyat dapat melihat sendiri pencapaian kerajaan serta mendapatkan penjelasan terus daripada penjawat awam.

Beliau turut memaklumkan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 akan diadakan serentak, melibatkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam dan pemain industri. 

Konvensyen itu, katanya, bersifat lebih substantif dengan menumpukan kepada hala tuju penambahbaikan perkhidmatan awam serta penyampaian kerajaan yang lebih responsif dan diterima rakyat.

Sapian berkata program tiga hari itu juga merangkumi lapan sektor utama meliputi Ukhuwah MADANI, program belia MADANI, agenda reformasi perkhidmatan awam, segmen ASEAN serta kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa. 

“Malaysia telah mencatatkan banyak rekod baik sepanjang tahun ini di peringkat domestik, ASEAN dan global. Pencapaian itu akan diketengahkan kepada orang ramai melalui pameran dan aktiviti interaktif.

“Selain pengisian dasar, pelbagai program tarikan turut disediakan sebagai penghargaan kepada pengunjung termasuk Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga bagi barangan keperluan seperti jualan ‘balik ke sekolah’,” katanya.

Sapian berkata beberapa industri turut bekerjasama membawa jualan berdiskaun melalui koordinasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Antara tarikan lain ialah pameran kucing “Meow Fiesta”, demonstrasi pengurusan bencana oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), demonstrasi keselamatan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pertukaran topi keledar motosikal lama kepada baharu selagi stok masih ada.

Untuk kemudahan ibu bapa, beliau berkata perkhidmatan Kiddocare akan disediakan dengan penjagaan kanak-kanak secara percuma untuk dua jam pertama.

Program berkenaan turut menempatkan pameran aset darat pelbagai agensi yang boleh dilihat lebih dekat oleh pengunjung, berbeza daripada perarakan semasa sambutan Hari Kebangsaan.

Bagi aspek akses dan mobiliti, Sapian menggalakkan pengunjung menggunakan pengangkutan awam termasuk Transit Aliran Massa (MRT).

Shuttle bus akan disediakan di beberapa lokasi bermula di Kompleks Parcel F dan berakhir di sekitar Heriot-Watt University Putrajaya. Laluan turut merangkumi Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Persiaran Perdana dan Presint 5,” katanya.

Sapian berkata hari ketiga akan menjadi kemuncak program apabila seluruh Jemaah Menteri dijadual hadir bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 pagi bagi sesi libat urus dengan rakyat.

Program Rancakkan MADANI akan berlangsung bermula 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada Ahad dari 9 pagi hingga 6 petang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan