AM

KEGIATAN SONGSANG: KPT SEDIA BERI KERJASAMA PENUH ISU PENAHANAN PELAJAR DI PULAU PINANG

03/12/2025 06:52 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia berhubung siasatan melibatkan sekumpulan pelajar universiti yang disyaki terlibat dalam aktiviti hubungan songsang di sebuah premis di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kementerian tidak akan melindungi mana-mana individu sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.

“Bagi kita, sebarang hal yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa akan diserahkan sepenuhnya kepada mereka. Kita tidak melindungi mana-mana pihak. 

“Selagi perkara itu dilakukan di luar lingkungan undang-undang, maka pihak berkuasa berhak mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu berkenaan pada Majlis Apresiasi Festival Idea Putrajaya 2025 di sini hari ini.

Zambry berkata KPT sentiasa menekankan aspek disiplin, keselamatan dan integriti pelajar, namun tindakan berkaitan kesalahan jenayah atau salah laku di luar kampus tertakluk kepada siasatan pihak berkuasa.

KPT akan mengikuti rapat perkembangan kes itu dan bekerjasama jika diperlukan bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar.

Sebelum ini, pihak polis dilaporkan menahan 13 lelaki termasuk dua warga asing kerana disyaki terbabit dengan aktiviti persundalan luar tabii.

Daripada 13 yang ditahan itu, sebanyak 11 daripadanya pelanggan premis terdiri sembilan lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berumur antara 19 hingga 66 tahun, manakala dua lagi tangkapan ialah pekerja dan pemilik premis berumur 57 dan 59 tahun.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan berhubung bahan lucah yang ditemukan dalam telefon bimbit.

Mereka yang ditahan masih direman hingga 5 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan