KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Ia dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang memaklumkan bacaan kali kedua RUU itu akan dilakukan pada sesi mesyuarat akan datang.
RUU itu bertujuan menguatkuasakan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa yang Terhasil daripada Pengantaraan (Konvensyen) yang ditandatangani Malaysia pada 7 Ogos 2019.
Ia juga bertujuan mewujudkan kerangka undang-undang yang perlu bagi melaksanakan kewajipan di bawah konvensyen dan memudahkan penguatkuasaan perjanjian penyelesaian antarabangsa di Malaysia.
Ini akan menggalakkan penggunaan pengantaraan sebagai suatu cara yang berkesan untuk menyelesaikan pertikaian komersial antarabangsa.
Bagaimanapun, Fasal 3 RUU itu memperuntukkan bahawa undang-undang berkenaan tidak terpakai bagi perjanjian penyelesaian antarabangsa tertentu termasuk perjanjian yang dipersetujui untuk menyelesaikan pertikaian daripada transaksi bagi maksud peribadi, keluarga atau rumah tangga, atau perjanjian diluluskan oleh suatu mahkamah, atau dipersetujui dan direkodkan sebagai suatu penghakiman mahkamah, atau dikuatkuasakan sebagai award timbang tara.
Selain itu, Fasal 4 memperuntukkan suatu permohonan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi oleh suatu pihak kepada perjanjian penyelesaian antarabangsa supaya perjanjian itu direkodkan Mahkamah Tinggi bagi maksud untuk menguatkuasakan perjanjian penyelesaian antarabangsa di bawah RUU yang dicadangkan.
-- BERNAMA
