AM

MALAYSIA KOMITED MEMPERKASA, IKTIRAF HAK OKU - NANCY

04/12/2025 12:11 AM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Malaysia kini sedang bergerak daripada pendekatan berbentuk belas kasihan terhadap komuniti orang kurang upaya (OKU) kepada pendekatan berasaskan hak dan pemerkasaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata komuniti OKU tidak lagi harus dilihat sebagai golongan hanya perlu dibantu, sebaliknya sebagai warganegara yang mampu menyumbang, berkarya dan memimpin apabila diberikan akses dan peluang sewajarnya.

“Pendekatan ini menuntut perubahan cara kita berfikir. Daripada kasihan kepada menghormati, daripada sekadar memberi kepada pemberdayaan, dan daripada bantuan kepada pengiktirafan hak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Nancy berkata kerajaan memberi perhatian serius dalam memastikan akses menyeluruh kepada pendidikan, pembangunan kemahiran, peluang pekerjaan, kemudahan awam mesra OKU serta sokongan komuniti yang berterusan.

Bagaimanapun, beliau mengakui stigma masyarakat, jurang akses fizikal dan digital di luar bandar, kekurangan data tepat serta tahap kesedaran hak OKU yang masih rendah, terus menjadi cabaran perlu ditangani bagi memastikan golongan itu tidak terus tersisih daripada peluang dan penyertaan sosial yang setara.

Nancy berkata antara langkah memperkasakan OKU yang diambil kerajaan termasuk menyemak Pelan Tindakan OKU Negara agar ia selari dengan Akta OKU 2008 dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD), serta pembangunan pangkalan data bersepadu MyOKU bagi memastikan intervensi dan bantuan lebih responsif.

Dalam aspek pekerjaan, beliau berkata pihaknya melaksanakan program Latihan Kesaksamaan Ketidakupayaan (DET) serta khidmat Job Coach bagi meningkatkan penyertaan OKU dalam sektor awam dan swasta.

"Kerajaan MADANI juga memperluas perkhidmatan serta menambah baik infra sokongan OKU yang merangkumi peruntukan kepada institusi, program bantuan serta penyediaan mobiliti khas," katanya.

Nancy berkata dengan semangat kerjasama dan kefahaman lebih tinggi terhadap keperluan serta hak OKU, Malaysia mampu menjadi negara yang benar-benar inklusif dengan setiap rakyat dihargai dan diberi ruang untuk menyumbang.

“Saya menyeru seluruh masyarakat untuk melihat keupayaan seseorang, bukan kekurangannya. Sokongan inklusif mesti datang daripada semua, kerajaan, swasta dan komuniti,” katanya.

Pada majlis hari ini, Nancy menyampaikan beberapa anugerah kepada pihak telah menyumbang kepada usaha pemerkasaan OKU serta individu OKU yang berjaya mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan, sukan dan akademik.

Beliau juga telah mengiktiraf kecekalan sepasang suami isteri berusia 58 tahun yang membesarkan tiga anak OKU dengan menyampaikan Anugerah Ibu Bapa Mithali.

Pasangan yang berasal dari Melaka, Abd Aziz Sehat dan isterinya Roslina Rajudin diberikan anugerah berkenaan kerana berjaya mendidik tiga anak istimewa Muhammad Zikri, 26, Muhammad Zakwan, 25, serta Muhammad Zulhilmi, 19, hingga mereka berdikari dengan memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Mengulas mengenai anugerah itu, Abd Aziz berkata bantuan dan sokongan yang diberikan kerajaan dan masyarakat kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU menjadi kekuatan buat dirinya dan isteri untuk cekal dalam membesarkan anak mereka.

"Kami dibantu pelbagai pihak, termasuk kerajaan dan badan bukan kerajaan. Sekarang kerajaan juga telah menyediakan banyak keperluan seperti sekolah bagi anak-anak yang mempunyai keperluan khas.

"Untuk mengurangkan stigma masyarakat, kita perlu beri peluang kepada OKU untuk bersama menjalani kehidupun dengan kita. Janganlah ada perbezaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan