AM

MINGGU OPS GERAK 2025: JAS PERKUKUH PEMATUHAN PELEPASAN KENDERAAN

04/12/2025 03:02 PM

KUCHING, 4 Dis (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini melancarkan Minggu Operasi Gerak Kenderaan Motor Peringkat Kebangsaan 2025 sebagai usaha berterusan memastikan pematuhan standard pelepasan kenderaan di seluruh negara.

Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata Ops Gerak Kebangsaan pada kali ini dilaksanakan pada minggu kedua Disember secara serentak di seluruh negara dan diteruskan secara berjadual dari semasa ke semasa.

Beliau menegaskan pendekatan JAS sebagai agensi penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata.

“Selain penguatkuasaan kenderaan bermotor, JAS turut menekankan pematuhan dalam pengurusan refrigeran,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Minggu Ops Gerak Kebangsaan sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia di sini, hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata JAS akan terus komited memastikan semua pihak mematuhi keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 2020, seiring usaha negara menangani pelepasan bahan yang menjejaskan atmosfera.

“Selaras dengan itu, JAS turut mempertingkat kesiapsiagaan melalui penambahbaikan peralatan pemantauan, merangkumi 22 unit meter asap untuk pemeriksaan kenderaan diesel, 14 unit gas analyser model terkini bagi kenderaan petrol dan 14 unit Sound Level Meter untuk pengukuran tahap bunyi yang lebih tepat.

“Keupayaan pasukan penguat kuasa di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, turut diperkasakan dengan perolehan kenderaan operasi baharu seperti Toyota Hilux dan Proton X70,” katanya.

Beliau menegaskan JAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan dalam usaha melindungi alam sekitar.

“Saya menyeru semua sektor kerajaan, industri dan masyarakat untuk terus berganding bahu demi memastikan agenda kelestarian alam sekitar dapat dicapai secara mampan dan menyeluruh,” katanya.

Bertemakan Hari Ozon Sedunia, “From Science to Global Action”, tema tahun ini menegaskan bahawa kejayaan memelihara atmosfera bumi bergantung kepada kesediaan kolektif untuk bertindak berani dan berpaksikan data.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan