KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- PSP Energy Bhd menyasarkan untuk memperluas perniagaan bahan api marinnya dengan pembangunan hab bunkering di Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka.
Pengarah Urusan Kumpulan Ong Chee Seng berkata kemudahan pelabuhan itu kini dalam pengubahsuaian dan akan membentuk aspek penting strategi syarikat untuk memberi perkhidmatan kepada kapal di Selat Melaka, mengambil kira jumlah trafik kapal yang tinggi melalui selat itu setiap hari.
“Selat Melaka adalah antara selat paling sibuk di dunia. Oleh itu, banyak kapal akan melalui di sana dan kami akan menubuhkan hab di Pelabuhan Tanjung Bruas.
“Perancangannya adalah memulakan operasi pada separuh pertama 2026,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian PSP Energy di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Pada sesi pembukaan, PSP Energy disenaraikan mendatar pada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 16 sen di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dengan 14.5 juta saham diniagakan.
Ong berkata pengembangan Melaka sejajar dengan pelan jangka panjang PSP Energy untuk memperkukuh operasi serantaunya dan meneroka permintaan yang meningkat terhadap bahan api marin.
“Pelabuhan Tanjung Bruas terletak secara strategik di sepanjang laluan kapal utama dan pembangunan ini meletakkan kami pada kedudukan yang baik untuk meneroka permintaan baharu di satu daripada koridor maritim paling aktif di rantau ini,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada pelan menambah baik kumpulan kapalnya, beliau berkata PSP Energy turut bercadang untuk memperoleh sebuah kapal bunker baharu selepas penyenaraian bagi menyokong operasi berasaskan pelabuhan yang akan datang.
“Kami akan memilih kapasiti di bawah 2,000 tan, dua megaliter (kapasiti muatan). Kami akan cuba mendapatkan kapal yang berusia di bawah 15 tahun dan dibuat di Jepun,” katanya.
Beliau berkata jangkaan tempoh penggunaan kapal bunker baharu itu adalah dalam 24 bulan selepas penyenaraian syarikat.
Katanya kapal baharu itu dijangka melengkapi kapal sedia ada syarikat dengan jumlah kapasiti muatan 2.4 megaliter, membolehkannya memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan di sepanjang Selat Melaka.
-- BERNAMA
