PETALING JAYA, 4 Dis (Bernama) -- Sebanyak 18 keluarga terlibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dekat sini pada 1 April, lega selepas proses baik pulih serta bina semula kediaman mereka di Kampung Kuala Sungai Baru siap.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek pemulihan dikendalikan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) melibatkan peruntukan RM4.85 juta daripada Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara.
“Kerajaan MADANI bertindak pantas dalam menangani isu ini serta memberikan harapan baharu kepada mangsa terkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Mangsa Insiden Kebakaran Putra Heights di sini hari ini.
Nga berkata kerja pembinaan bermula pada 3 Jun dan setakat akhir November, sebanyak 15 rumah berjaya siap sepenuhnya manakala tiga lagi menunggu proses dokumentasi pemilik.
Proses baik pulih kediaman di Putra Heights dikendalikan pemaju Sime Darby Bhd manakala SPNB mengendalikan kediaman di Kampung Kuala Sungai Baru.
“Kami akan terus memantau situasi dan memberikan sokongan diperlukan (kepada mangsa). Semoga rumah baharu yang diterima hari ini dapat memberi kehidupan lebih baik dan sejahtera,” katanya.
Kebakaran saluran paip gas pada 8.10 pagi 1 April mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus manakala 81 rumah separa musnah dan 57 lagi terkesan tetapi tidak terbakar.
Pada majlis sama, Nga mengumumkan pencapaian keseluruhan SPNB untuk 2025 di bawah Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang mencatatkan 5,450 unit siap dibina melibatkan kos RM504 juta, meningkat 56 peratus berbanding tahun lepas.
“Untuk 2026, SPNB melalui bajet telah diluluskan akan membina 6,545 unit RMR dengan peruntukan RM500 juta,” katanya.
Nga berkata SPNB turut memperkenalkan aplikasi MyRMR yang merangkumi modul pemohon, peguam cara, kontraktor dan pegawai SPNB untuk mempercepat serta memudahkan urusan permohonan dan pemantauan projek.
Sementara itu, mangsa kebakaran tersebut Hasrina Nordin, 39, yang merupakan guru agama bersyukur penantian selama enam bulan untuk kembali memiliki rumah tercapai.
“Dugaan sepanjang tempoh itu memang banyak dan hanya kami yang tahu. Tapi alhamdulillah, akhirnya rumah siap dibina,” katanya.
Sharifah Mustafa, 59, pula berterima kasih kepada KPKT dan SPNB kerana pantas menyediakan rumah baharu kepada mangsa.
“Saya sangat bersyukur kerana rumah ini untuk persediaan hari tua. Mereka (KPKT dan SPNB) menggantikan (dengan) rumah tiga bilik,” katanya.
-- BERNAMA
