EKONOMI

DRB-HICOM BERCADANG BELI SPIRIT MY BERHARGA US$110.62 JUTA

04/12/2025 10:16 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- DRB-Hicom Bhd bercadang membeli keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Spirit Aerosystems Malaysia Sdn Bhd (Spirit MY) berharga US$110.62 juta (US$1=RM4.1115), meningkat daripada anggaran nilai perusahaan sebelumnya sebanyak US$95.2 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, DRB-Hicom melalui penasihat utamanya AmInvestment Bank Bhd berkata perbezaan harga itu berikutan jumlah tunai tambahan sebanyak US$16.94 juta, ditolak keberhutangan sebanyak US$1.52 juta.

Pada 11 Ogos 2025, DRB-Hicom mengumumkan unit milik penuhnya Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat dengan pengilang aeroangkasa yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Spirit Aerosystems Inc. dan Spirit Aerosystems International Holdings Inc., bagi cadangan pengambilalihan operasi mereka di Malaysia, Spirit MY.

Dalam makluman pada 11 Ogos, DRB-Hicom berkata selepas selesai cadangan pengambilalihan itu, Spirit MY akan menjadi anak syarikat langsung milik penuh CTRM.

Pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2025, katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan