AM

FAMA MULA EKSPORT PRODUK HALAL TEMPATAN KE FILIPINA

04/12/2025 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai pengeksport produk halal di rantau ASEAN menerusi penghantaran fasa pertama dua kontena produk agromakanan bernilai RM338,408 ke Filipina hari ini, dengan jumlah eksport keseluruhan dijangka mencecah RM4.15 juta hingga tahun hadapan.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli berkata kerjasama perdagangan dan perluasan pasaran halal ke Filipina menandakan rekod baharu sekali gus menjadikan republik itu sebagai pasaran halal keempat terbesar negara, selepas China, India dan Indonesia. 

“Penghantaran itu merupakan sebahagian Program Penerokaan Pasaran Filipina membabitkan 20 kontena ke Manila dan Marawi secara berfasa, merangkumi lapan unit simpanan stok (SKU) produk Agromas termasuk kopi, mi segera, marjerin dan ayam segar,” katanya pada Majlis Pelepasan Produk Agromakanan Ke Pasaran Filipina di Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri serta Ketua Pegawai Eksekutif FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACO) Shahrulnizam Ahmad, Pengarah Wilayah Luzon dan Ahli Lembaga Philippine Coconut Authority Flor L. Olivar serta Presiden Golden Merchantile International Trading Corporation Camilo Cadiz.

Aminuddin berkata Malaysia memiliki kekuatan sebagai pengeluar produk halal manakala Filipina yang semakin menitikberatkan pensijilan halal dan kualiti makanan, menawarkan peluang pasaran yang lebih besar kepada produk negara.

Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara FAMACO dan lima syarikat tempatan industri ruminan merangkumi kerjasama rantaian bekalan makanan, pengedaran barang pengguna cepat laris nb (FMCG) Malaysia-Filipina, pembekalan minyak masak, pengembangan industri ruminan serta pembangunan platform logistik pintar.

Syarikat tersebut ialah Sun Nee Farmas Sdn Bhd, 3 Bumi Oleo Sdn Bhd, KPKV Malaysia, Toong Hing Chang Trading Sdn Bhd dan Asolute Sdn Bhd.

Sementara itu pada sidang media, Shahrulnizam berkata penyertaan syarikat Malaysia dalam program itu membuktikan kemampuan industri tempatan menembusi pasaran baharu secara lebih tersusun.

“Filipina memberi isyarat jelas bahawa mereka mahukan produk makanan Malaysia. Permintaan begitu tinggi dan peluang ini perlu dimanfaatkan usahawan tempatan...kita mahu lebih banyak usahawan menyertai usaha ini.

“Laluan pasaran telah dibuka, dan kini masa untuk produk Malaysia bertapak kukuh di Filipina,” katanya.

Pasaran halal di Filipina berkembang pesat dengan nilai dagangan dianggarkan mencecah USD54.3 bilion (sekitar RM253.3 bilion) pada 2024 dan dijangka meningkat kepada USD116.9 bilion (RM481.3 bilion) menjelang 2033.

Untuk rekod, prestasi eksport agromakanan Malaysia ke Filipina menunjukkan peningkatan konsisten RM1.96 bilion pada 2022, RM2.05 bilion (2023) dan RM2.37 bilion (2024) manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, jumlah eksport telah mencapai RM1.58 bilion.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan