AM

MASUK PERCUMA KE MUZIUM NEGARA HUJUNG MINGGU INI

05/12/2025 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Jabatan Muzium Malaysia menawarkan kemasukan percuma ke Muzium Negara kepada semua warganegara pada hujung minggu ini bersempena tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI serta sambutan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini, memaklumkan inisiatif itu bertujuan menggalakkan masyarakat, khususnya golongan muda dan keluarga untuk mendekati sejarah tanah air serta menghargai warisan yang membentuk identiti negara.

“Muzium Negara menempatkan empat galeri utama yang memaparkan keseluruhan perjalanan sejarah Malaysia merangkumi era prasejarah, kesultanan Melayu, penjajahan dan pembangunan negara moden.

“Pelawat boleh merujuk laman rasmi Muzium Negara bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai galeri dan pameran,” menurut kenyataan itu.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata pemahaman sejarah merupakan asas penting dalam memupuk perpaduan, memperkukuh nilai kebangsaan dan mempertingkat rasa kebersamaan rakyat Malaysia.

Beliau berkata usaha membuka akses percuma diharapkan memberi peluang lebih luas kepada masyarakat untuk kembali menyelami akar sejarah negara.

Muzium Negara boleh dikunjungi dari 9 pagi hingga 5 petang.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan