CYBERJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu menyiasat individu yang mengkritiknya selagi tidak menyentuh aspek jenayah.
Beliau berkata polis juga tidak perlu mengambil tindakan terhadap pengkritik dan sebarang kritikan yang dilontarkan kepada dirinya yang bermotifkan politik semata-mata.
“Beberapa tindakan terhadap beberapa pengkritik kerajaan termasuk serangan terhadap saya, saya telah beri arahan tidak perlu disiasat
“Saya tidak pertikai apa tujuan matlamat orang-orang yang menyerang (kerana) kadang-kadang tidak berasas tetapi saya telah mengarahkan (tiada tindakan) selain daripada kes jenayah yang jelas atau tuduhan yang agak keterlaluan...yang sudah tidak ada tatasusila,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,500 jemaah di Masjid Cyberjaya 10 di sini hari ini.
Anwar turut menempelak tindakan segelintir pihak yang menyokong tindakan mengkritik dengan melontarkan kata-kata keterlaluan dan tidak berasas.
“Saya pun aneh juga merasakan betapa kadang-kadang orang-orang dalam parti Melayu dan Islam mendukung hal-hal sedemikian
“Walau bagaimanapun, saya telah mengarahkan supaya kritikan terhadap Anwar atau sebagai Perdana Menteri tidak harus diambil tindakan
“Apa lagi kalau nak kata-kata berpaut hanya politik atau meminta supaya Perdana Menteri undur atau letak jawatan atau disingkir. Kenyataan biasa itu saya tidak fikir, saya atau PDRM harus layan,” katanya.
-- BERNAMA
