JENAYAH & MAHKAMAH

ENAM LELAKI "GENG BHAI" DISYAKI TERLIBAT KES SAMUN KARGO DITAHAN

05/12/2025 03:56 PM

MARAN, 5 Dis (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki ahli kumpulan “Geng Bhai” yang disyaki terbabit dalam berapa kejadian samun kargo dan curi kenderaan di negeri ini melibatkan kerugian dianggarkan RM659,000 sejak Oktober lepas.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata kejayaan itu adalah hasil Op Kargo yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang susulan dua kes samun treler bermuatan besi dan kabel PVC serta lima kes curi treler, forklift serta kereta. 

"Polis melancarkan beberapa siri serbuan antara 21 hingga 29 Nov di Senawang (Negeri Sembilan), Klang (Selangor) dan Bentong sebelum berjaya menahan enam lelaki berusia antara 24 hingga 56 tahun dengan kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Azry Akmar berkata serbuan turut membawa kepada rampasan pelbagai barangan kes termasuk empat treler, sebuah lori, dua kereta dan 10 drum kabel PVC serta tiga alat pemotong besi dan kabel.

Beliau berkata modus operandi kumpulan itu ialah menyasarkan treler bermuatan yang berhenti di tepi jalan dengan mengikat mangsa sebelum membawa mereka ke lokasi lain dan meninggalkan mangsa selepas memastikan kenderaan selamat daripada dijejaki.

"Kumpulan berkenaan turut mencuri treler bermuatan dan kosong serta kereta yang ditinggalkan di kawasan sunyi, manakala sebuah forklift dicuri di Temerloh untuk digunakan memunggah barang samun di sebuah stor sewaan di Senawang, Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati kumpulan itu diketuai seorang lelaki berusia 56 tahun yang pernah aktif dalam kes jenayah kargo dan kini sedang menjalani tempoh parol hingga Mac 2026 di Bentong.

“Ahli geng tersebut dipercayai mengenali rakan-rakan lain ketika menjalani hukuman penjara sebelum ini,” katanya. 

Tiga lagi lelaki dipercayai ahli kumpulan itu masih bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu dikenali sebagai Kishan Singh Kretar Singh, 41, dari Rawang, Selangor; Muhammad Farhan Subri, 23, dari Bedong, Kedah; dan seorang lelaki hanya dikenali sebagai Raja menyalurkan maklumat kepada polis. 

Beliau berkata kesemua suspek direman hingga semalam dan pihaknya kini memohon tempoh itu dilanjutkan bagi melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan berkaitan rompakan berkumpulan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan berhubung curi kenderaan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan