AM

BANJIR DI EMPAT NEGERI SEMAKIN PULIH, JUMLAH MANGSA BERKURANGAN

05/12/2025 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di Perak, Selangor, Perlis dan Pahang semakin pulih setakat malam ini dengan jumlah mangsa terus mencatatkan penurunan selain beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) turut ditutup.

Di PERAK, jumlah mangsa berkurang kepada 1,539 orang daripada 470 keluarga berbanding 1,674 orang daripada 509 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan satu lagi PPS di Hilir Perak ditutup menjadikan hanya 11 PPS masih beroperasi ketika ini.

Daripada jumlah itu, enam PPS di daerah Hilir Perak menempatkan 776 mangsa, manakala 459 mangsa berlindung di dua PPS di Bagan Datuk dan 304 lagi mangsa di tiga PPS di Manjung.

Sementara itu, di SELANGOR mangsa banjir berkurang kepada 429 orang daripada 134 keluarga malam ini berbanding 616 mangsa melibatkan 187 keluarga petang tadi.

Menurut laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak sembilan PPS masih beroperasi di daerah Hulu Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Keadaan banjir di PERLIS juga menunjukkan pemulihan dengan jumlah mangsa terus berkurangan kepada 15 orang setakat 8 malam ini berbanding 20 mangsa petang tadi, dengan kesemuanya ditempatkan di PPS SK Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar.

Di PAHANG, penurunan mangsa turut direkodkan malam ini apabila hanya  tujuh orang daripada sebuah keluarga yang masih berlindung di sebuah PPS di Kuantan, berbanding 14 penduduk daripada dua keluarga petang tadi.

Menerusi laman web publicinfobanjir pula paras air semua sungai utama di negeri-negeri terlibat  menunjukkan bacaan di bawah paras bahaya malam ini. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan