KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan, serta berharap penyelesaian secara aman dapat dicapai.
Beliau berkata perkara itu dinyatakan kepada Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dalam satu perbualan telefon tengah hari tadi.
"Saya menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap kestabilan rantau tersebut dan berharap agar semua pihak dapat mencari penyelesaian secara aman melalui dialog dan saluran diplomasi demi mengelakkan ketegangan yang berpanjangan," kata beliau menerusi hantaran di Facebook.
Menurut laporan media, ketegangan memuncak antara Afghanistan dan Pakistan selepas beberapa siri serangan berlaku di sempadan kedua-dua negara pada Oktober lepas.
Selain itu, Anwar berkata beliau turut bertukar pandangan mengenai beberapa perkara berkaitan hubungan dua hala Malaysia-Pakistan.
"Saya turut berkongsi situasi semasa banjir yang melanda negara dan negara sahabat yang lain, iaitu Indonesia dan Thailand," katanya.
-- BERNAMA
