MELAKA, 6 Dis (Bernama) -- Pementasan teater komedi seram “Persidangan Hantu, Permainan Akhir” yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, merupakan antara inisiatif berterusan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka bagi memperkukuh ekosistem seni persembahan di negeri ini.
Pengarah JKKN Melaka Ezlina Alias berkata pementasan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Persatuan Penggerak Anak Seni Melaka itu turut membuka ruang lebih luas kepada pelapis serta penggiat seni tempatan untuk terus aktif berkarya secara profesional.
"Naskhah yang dipentaskan di Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka ini bukan sahaja memfokuskan hiburan, malah turut mengangkat satira dan kritikan sosial yang relevan dengan realiti masyarakat hari ini.
“Pementasan ini platform menyatukan pelakon profesional dan amatur dalam satu produksi berkualiti, membuktikan barisan penggiat seni Melaka mempunyai potensi besar untuk menyerlah di peringkat nasional," katanya kepada Bernama di sini.
Turut hadir menyaksikan persembahan itu Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris.
Ezlina berkata naskhah tulisan penulis prolifik Mohd Isa Maarof itu diarahkan Sutradara Raja Azrey, yang menggunakan pendekatan dramatik kreatif bagi menyampaikan mesej sosial dalam bentuk menghiburkan dan mudah didekati khalayak.
Beliau berkata pementasan selama dua jam itu, dibarisi pelakon popular tanah air seperti Man Rajalawak, Ieda Moin, Ucop Cecupak, Along Eyzendy dan Evie Razwan, selain pelakon amatur dari Melaka dan pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor.
“Gabungan tenaga ini memberi pendedahan realiti produksi teater kepada bakat baharu, sekali gus memperkayakan mutu persembahan dan memantapkan kesinambungan penggiat seni tempatan,” katanya.
Mengulas konsep pementasan itu, Ezlina berkata 'Persidangan Hantu, Permainan Akhir' mengangkat genre komedi seram realisme, sarat dengan elemen satira dan kritikan sosial yang memberi banyak nilai pengajaran.
Beliau berkata naskhah itu menggunakan watak makhluk alam halus sebagai simbolik bagi menyampaikan mesej bahawa perilaku negatif manusia pada masa kini sering kali lebih buruk daripada gambaran yang dikaitkan dengan makhluk ghaib.
Menurut Ezlina persidangan itu digambarkan berlangsung di bawah sebuah pokok besar sebagai ruang simbolik untuk membincangkan kebimbangan terhadap perilaku manusia yang menyimpang daripada nilai baik, dengan adegan dramatik serta sindiran sosial.
“Dalam karya ini, hantu-hantu digambarkan bersidang kerana bimbang apabila manusia melakukan pelbagai perbuatan tidak bermoral sehingga 'mengambil alih' tugas yang sering dikaitkan dengan mereka.
“Walaupun berbentuk komedi seram, karya ini sarat dengan pengajaran yang mengajak penonton berfikir tentang siapa sebenarnya yang dianggap ‘lebih hantu’ apabila manusia sendiri menyimpang jauh daripada nilai kebaikan," katanya.
Ezlina berkata pendekatan sebegitu menjadikan pementasan ini bukan sahaja karya menghiburkan, tetapi juga medium refleksi sosial yang signifikan, selari dengan usaha memperkukuh seni budaya sebagai komponen berdaya saing dalam sektor pelancongan negeri.
Beliau turut menggalakkan masyarakat hadir memeriahkan pementasan tersebut pada hari terakhir malam ini, dengan tiket berharga RM20 yang boleh diperoleh melalui platform rasmi JKKN Melaka dan pautan CloudJoi.
-- BERNAMA
