AM

JKKN SOKONG IDEA KERAJAAN JOHOR JADIKAN BATU PAHAT DAERAH BERBUDAYA

23/11/2025 04:15 PM

BATU PAHAT, 23 Nov (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memberikan sokongan penuh kepada idea kerajaan Johor untuk menjadikan Batu Pahat sebagai Daerah Berbudaya setelah melihat daerah itu aktif dalam melaksanakan aktiviti kebudayaan.

Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris berkata bantuan dan galakan daripada pihaknya akan dilakukan bagi memantapkan usaha itu selain mengakui idea berkenaan sebagai satu langkah yang bernas.

Beliau berkata cadangan yang datang daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan Datuk Zulkurnain Kamisan itu diakui JKKN sebagai langkah yang mampu memperkukuhkan seni dan kebudayaan, sekali gus mempertahankannya daripada dilupakan.

“Insya-Allah… di bawah JKKN selagi kami mampu untuk membantu dan menjayakan pelbagai pengisian bagi memastikan matlamat itu tercapai, kami akan buat sebaik yang mungkin.

“Kami lihat di Johor ini terutamanya Batu Pahat sangat aktif dalam aktiviti berkenaan (kebudayaan) dan satu daripada aktivitinya ialah kompang dengan kewujudan beberapa pertandingan yang turut disertai anak muda,” katanya semasa Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM) JKKN di Kampung Parit Abdul Rahman di sini hari ini.

Mohd Amran berkata sebagai permulaan melalui peruntukan KAM, pihaknya turut memberikan sumbangan kepada kumpulan kompang Kampung Parit Abdul Rahman yang terdiri daripada kompang, jidur serta pakaian untuk aktiviti berkenaan.

“Kami di JKKN juga akan menyediakan jurulatih profesional untuk mengajar anak-anak kampung bermain kompang. Kita kena akui juga kompang ini antara aktiviti kebudayaan yang perlu dipertahankan dan ia sangat sinonim dengan identiti Johor,” katanya.

“Sementara itu, Program KAM telah dilaksanakan di dua lokasi iaitu Kampung Parit Abdul Rahman dan Kampung Parit Mantan, yang dipilih untuk kerja menaik taraf kemudahan asas seperti surau, masjid dan balai raya.

“Antara kemudahan yang menjalani proses naik taraf dan pembaikan termasuk lantai, dinding serta bumbung yang rosak akibat bencana banjir sebelum ini. Selain itu, JKKN turut memasang 20 unit lampu solar di kawasan jalan kampung dan tanah perkuburan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan