AM

MPK BERI PENGECUALIAN BAYARAN SEWA PREMIS TEREJAS BANJIR DI PERLIS

06/12/2025 03:40 PM

KANGAR, 6 Dis (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kangar (MPK) memberikan pengecualian bayaran sewa bulanan premis perniagaan di bawah seliaannya untuk November kepada kira-kira 10,000 peniaga dikenal pasti terjejas akibat banjir melanda Perlis baru-baru ini.

Yang Dipertua MPK Affendi Rajini Kanth berkata premis perniagaan itu termasuk pasar malam, pasar tani, kiosk dan kedai yang langkah pengecualian itu sebahagian usaha pihaknya untuk membantu meringankan beban mereka terkesan dengan bencana berkenaan.

“Pengecualian penuh sewaan bagi November diberikan kepada semua peniaga berkenaan termasuk premis tidak dinaiki air tetapi tidak dapat beroperasi ketika banjir.

“Jika peniaga sudah membuat pembayaran untuk November, bayaran itu dibawa ke bulan berikutnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rancakkan MADANI di sini hari ini.

Program jualan sehari anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis itu antara lain melaksanakan happy hour bagi 100 set kombo MADANI yang dijual pada harga RM8 setiap set dan habis dalam tempoh kira-kira 15 minit selepas bermula 9 pagi.

Set Kombo MADANI itu mengandungi minyak masak satu liter, bihun dan tepung goreng agromas. Selain itu, terdapat potongan harga RM3 masing-masing bagi seekor ayam dan setiap sekilogram ikan rakyat manakala telur ayam gred C dijual pada harga RM8 sepapan.

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata kerugian melibatkan 27 usahawan FAMA negeri itu yang dikenal pasti terkesan akibat banjir di Perlis berjumlah RM340,400 merangkumi kerosakan peralatan, bahan mentah, tanaman serta outlet pasaran.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan