IPOH, 6 Dis (Bernama) -- Program Karnival Saham Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dilihat berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat India di negara ini dalam aspek kewangan termasuk peluang menjana pendapatan tambahan melalui pelaburan saham.
Ketua Pengarah MITRA G Prabagaran berkata ini terbukti selepas tiga program di Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah, terdapat peningkatan pembukaan Sistem Depositori Pusat (CDS) untuk tujuan pelaburan saham dalam kalangan masyarakat tersebut.
“Jika sebelum ini masyarakat India di Malaysia yang membuka akaun CDS ialah kira-kira 80,000 orang tetapi selepas tiga program terdapat peningkatan hingga 6.6 peratus iaitu mencecah 85,000 orang. Ia satu kejayaan yang membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Karnival Saham MITRA Edisi Perak yang dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.
Prabagaran berkata program dengan kerjasama Bursa Malaysia Berhad itu juga bagi meningkatkan kesedaran mengenai pelaburan saham memandangkan sebelum ini hanya kira-kira satu peratus masyarakat India di negara terlibat dalam bidang berkenaan.
Beliau berkata program itu bukan hanya platform memudahkan urusan pembukaan akaun CDS malah peserta dilatih bagi urusan pelaburan saham yang dibuat.
“Ia juga memberi pendedahan dalam bidang pelaburan yang dijamin selain pengetahuan secara langsung berhubung pelaburan yang selamat serta mengelak daripada terjerumus dalam skim pelaburan tidak wujud,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata lebih 500 peserta telah mendapat manfaat melalui penganjuran Malaysian Indian Investment Programme (MIIP) yang diwujudkan bagi memperkasa golongan belia kaum India dengan latihan dan kemahiran pelaburan saham.
“Fokus kita adalah untuk memastikan 150 peserta daripada jumlah keseluruhan diberikan pekerjaan dalam sektor pelaburan kewangan,” katanya.
-- BERNAMA
