Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Hassan, Che Norhashimah Hassan, 50, berkata beliau terkejut apabila dihubungi polis yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan kira-kira 8 malam tadi.
Che Norhashimah berkata suaminya merupakan Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir dan mereka kini dalam proses perceraian dan sudah hampir tiga bulan tinggal berasingan.
"Arwah adalah seorang guru dan ayah yang baik. Walaupun sedih, saya reda dengan pemergiannya dan berdoa semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.
Norhashimah yang juga seorang guru berkata jenazah suaminya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Kampung Kedai Menanti di Pasir Puteh, Kelantan.
Sementara itu di KOTA BHARU, ibu Hassan, Mek Som Ishak, 82, berkata dia tidak menyangka pertemuan dengan anaknya Jumaat lepas merupakan pertemuan terakhir mereka.
"Arwah pulang ke kampung minggu lepas untuk berbincang mengenai tarikh merisik pada 20 Dis ini dan saya juga belum pernah bertemu bakal menantu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini.
Mek Som berkata pasangan itu ke Kuala Terengganu semalam dipercayai untuk membeli barangan persiapan perkahwinan yang akan berlangsung 25 Dis ini, berikutan beberapa pakaian termasuk baju Melayu ditemukan dalam nahas berkenaan.
"Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedai Menanti selepas solat isyak," katanya.
-- BERNAMA
